Kerajaan rangka dasar hadapi cabaran AI

LocalTechnology
14 Aug 2026 • 5:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan rangka dasar hadapi cabaran AI

PETALING JAYA: Kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam merangka dasar dan menyediakan ekosistem teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negara bersedia mendepani cabaran teknologi masa depan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pendekatan am pentadbiran yang lebih bersifat reaktif iaitu mencari penyelesaian selepas sesuatu masalah timbul tidak lagi sesuai dengan perkembangan teknologi yang semakin pantas.

Katanya, penubuhan AI Malaysia sebagai badan induk untuk memacu aspirasi negara menjadi negara AI menjelang 2030 merupakan antara langkah strategik kerajaan bagi menjangka cabaran serta menyediakan penyelesaian lebih awal.

“Kebiasaannya, pendekatan tradisional kerajaan adalah melihat kepada polisi, perundangan dan penguatkuasaan apabila timbul isu. Ia mengambil masa dan akhirnya kita hanya bertindak secara reaktif terhadap masalah.

“Pendekatan ini perlu berubah. Dengan adanya AI Malaysia, kita mahu bertindak proaktif dengan meramal cabaran mendatang supaya penyelesaian sudah sedia dan terus dapat dilaksana dengan serta-merta apabila isu timbul,” katanya ketika berucap pada perasmian Sidang Kemuncak AI Ready Malaysia 2026 hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, pendekatan proaktif itu turut melibatkan usaha mewujudkan rang undang-undang dan polisi sebagai persediaan yang boleh bertindak balas terhadap sebarang cabaran pada masa depan.

“Dalam aspek ini, AI Malaysia juga memberi penumpuan kepada cabaran yang dijangka dihadapi dalam enam sektor utama di negara ini antaranya melibatkan bidang pertanian, pengangkutan dan kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan terus memfokuskan kepada aspek kesedaran, kebolehcapaian atau ketersediaan serta penerimaan teknologi dalam kalangan masyarakat.

“Pertama, kita perlu sedar berkenaan dengan apakah teknologi itu dan bagaimana ia dapat membantu kita. Itu yang mendorong kita untuk menggunakannya. Bila sudah ada kesedaran, tidak adalah kita hendak membiarkan orang lain bergerak ke depan dan kita ini tertinggal di belakang.

“Jadi di sini perlunya kerajaan memastikan ekosistem teknologi yang boleh diakses, diguna pakai seluruh lapisan masyarakat, tidak terlalu mahal dan mudah untuk diperoleh sebelum ada penggunaan teknologi ini dalam kehidupan untuk memberi manfaat kepada kita dalam aspek berkaitan,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan rangka dasar hadapi cabaran AI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved