Kerajaan sasar tingkatkan hasil koko kepada 0.56 tan sehektar, perluas tanaman kepada 10,000 hektar menjelang 2030 - Noraini

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 2:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan sasar tingkatkan hasil koko kepada 0.56 tan sehektar, perluas tanaman kepada 10,000 hektar menjelang 2030 - Noraini Image from: Kerajaan sasar tingkatkan hasil koko kepada 0.56 tan sehektar, perluas tanaman kepada 10,000 hektar menjelang 2030 - Noraini liza24/11/2026 - 14:11 Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kerajaan menyasarkan peningkatan hasil biji koko kering kepada 0.56 tan sehektar menjelang 2030 berbanding 0.2 tan sehektar pada 2025 menerusi usaha memperluas kawasan tanaman serta meningkatkan produktiviti sektor huluan koko negara.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) turut menyasarkan peluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang 2030 bagi meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan dan memperkukuh rantaian bekalan industri koko.

 

“Sehingga September 2026, keluasan keseluruhan kawasan bertanam koko negara mencapai 6,939 hektar, termasuk lebih 400 hektar kawasan tanaman baharu.

 

“Sasaran itu dilaksanakan selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran koko tempatan secara berperingkat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai sasaran kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan bagi mengurangkan kebergantungan industri pengisaran kepada import di Dewan Rakyat hari ini.

 

Lima pendekatan tingkatkan pengeluaran koko

Bagi mencapai sasaran berkenaan, Noraini berkata, kementerian memberi tumpuan kepada lima pendekatan utama termasuk memperluas kawasan tanaman melalui penglibatan sektor perladangan serta memulihkan kebun koko sedia ada.

 

“Program pemulihan kebun koko melibatkan kawasan tanaman seluas 2,126 hektar, manakala seramai 3,295 pekebun kecil koko turut diberikan bantuan input pertanian bagi meningkatkan produktiviti tanaman sedia ada.

 

“Selain itu, kerajaan turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi pertanian moden, pengurusan nutrien secara sistematik serta kaedah kawalan penyakit dan perosak yang lebih berkesan.

 

“Pendekatan itu bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran selain mengurangkan kos operasi dalam kalangan pengusaha tanaman koko,” katanya.

 

Selain itu, kementerian juga berusaha memperkukuh kerjasama antara pengeluar biji koko dengan industri pengisaran bagi memastikan rantaian bekalan bahan mentah tempatan dapat dibangunkan dengan lebih baik.

 

Tumpuan kepada koko premium, tingkatkan pendapatan pekebun

Selain meningkatkan kuantiti pengeluaran, kerajaan turut memberi perhatian kepada penghasilan biji koko premium seperti koko asal tunggal (single-origin cocoa) dan koko berperisa istimewa (fine-flavour cocoa).

 

Noraini berkata, penghasilan koko premium itu mempunyai potensi memperoleh harga lebih tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus membuka peluang meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

 

Usaha meningkatkan pengeluaran koko tempatan turut dilaksanakan menerusi Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan serta Program Peluasan Tanaman Koko dan Hasil Koko.

 

Pengeluaran tempatan masih kecil berbanding keperluan industri

Dalam pada itu, jumlah pengisaran biji koko negara pada 2025 mencapai 294,697 tan, menjadikan Malaysia antara negara pengisar koko utama dunia.

 

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya 281 tan atau 0.01% merupakan biji koko tempatan, manakala baki 294,416 tan atau 99.99% diperoleh menerusi import.

 

Menurut Noraini, kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan biji koko tempatan kepada keperluan industri pengisaran secara berperingkat menerusi sasaran peluasan kawasan tanaman dan peningkatan produktiviti menjelang 2030.

 

Selain mengurangkan kebergantungan terhadap import, usaha itu turut bertujuan membangunkan semula sektor huluan koko negara, meningkatkan pendapatan pekebun kecil, mewujudkan peluang pekerjaan serta memastikan industri koko Malaysia terus berdaya saing dan mampan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved