
KUALA LUMPUR – Kehadiran beberapa pemimpin tertinggi Pas pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini kembali mencuri tumpuan.
Ini kerana kehadiran pemimpin itu dilihat mengeratkan lagi hubungan kedua-dua parti Melayu terbesar negara itu selepas berjaya ‘menawan’ beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Antara pimpinan Pas yang hadir ialah Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok merangkap Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Kehadiran mereka dilihat signifikan susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan kemungkinan kerjasama politik antara UMNO dan Pas kembali menjadi perhatian.
Ia juga dilihat sebagai kunjungan balas selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menghadiri Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan minggu lalu.
Asyraf Wajdi hadir mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada muktamar berkenaan.
Selain kepimpin tertinggi yang hadir hari ini, semalam Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bersama barisan kepimpinannya turut berada di WTCKL.
Kehadiran beliau adalah sebagai kunjungan balas terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengetuai 25 delegasi parti itu menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia sebelum ini.
Sebelum ini, UMNO bersetuju menjemput kepimpinan tertinggi Pas menghadiri PAU 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 9 September sebagai membalas jemputan Pas kepada pimpinan UMNO.-KOSMO ONLINE
The post Kerjasama UMNO-Pas kian ‘erat’, 4 lagi pemimpin Pas hadir ke WTCKL appeared first on Kosmo Online.






