amree28/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Kerjaya Prospek Property Berhad memperkukuh pertumbuhan menerusi pelancaran kediaman terbaharu, AndaBreeze di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang melonjakkan nilai pembangunan kasar (GDV) projek sedang dibangunkan kumpulan kepada kira-kira RM2 bilion.
Pelancaran itu hadir ketika sektor hartanah terus berdepan keperluan menyesuaikan produk dengan perubahan kehendak pembeli, terutama lokasi, kemudahan dan gaya hidup, yang menjadikan pemilihan konsep pembangunan antara faktor penting bagi memastikan projek mendapat sambutan.
Menurut kenyataan kumpulan pemaju hartanah tersebut, ketika ini ia sudah mempunyai empat projek pembangunan kediaman yang sedang dilaksanakan, termasuk ada tiga di Lembah Klang iaitu VOX Residence @ Sentul, Viera 15 @ Shah Alam dan Senna Heights @ Damansara Damai.
"Selain projek sedang dibangunkan, kumpulan turut mempunyai bank tanah seluas 24 hektar dengan anggaran potensi GDV sekitar RM3.9 bilion, menyediakan peluang pelbagai pembangunan untuk pertumbuhan jangka panjang," jelas Kerjaya Prospek Property.
Kumpulan berkenaan juga ujarnya, sudah mengenal pasti sebanyak tiga lagi projek baharu dengan jumlah anggaran GDV mencecah sekitar RM1.2 bilion, yang dijangka dapat dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa tahun kewangan akan datang.

Mengenai AndaBreeze, kawasan itu terletak di daerah pusat perniagaan (CBD) di Bandar Cassia yang terdiri daripada dua menara kediaman dengan sejumlah 1,406 unit, menawarkan keluasan binaan antara 59 meter persegi hingga 121 meter persegi.
Tambahnya, tapak pembangunan berstatus pegangan bebas itu bakal dilengkapi dengan sebanyak lebih 80 kemudahan gaya hidup yang merangkumi aspek kesejahteraan, rekreasi, aktiviti sosial serta keperluan kehidupan harian penghuni projek itu.
Pengerusi Eksekutif Kerjaya Prospek Property, Datin Seri Toh Siew Chuon berkata, pembangunan yang berjaya bukan sekadar bergantung kepada lokasi strategik, sebaliknya perlu memenuhi keperluan serta aspirasi masyarakat yang bakal mendiaminya.
"AndaBreeze direka untuk menawarkan lebih daripada sekadar tempat tinggal, dengan menggabungkan aspek kesalinghubungan, kemudahan dan persekitaran pesisir yang menyegarkan," kata beliau.
Dari segi reka bentuk, unit kediaman AndaBreeze menampilkan tingkap besar serta balkoni terbuka, manakala orientasi unit ke arah luar bertujuan memaksimumkan pencahayaan semula jadi, pengudaraan dan pemandangan. - DagangNews.com






