Kes Anjing Rocky: Individu & Influencer Label Muhammad Shah Sebagai ‘Pembunuh’ Serta ‘Kejam’ Digesa Mohon Maaf – Peguam

20 Aug 2026 • 5:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kes Anjing Rocky: Individu & Influencer Label Muhammad Shah Sebagai ‘Pembunuh’ Serta ‘Kejam’ Digesa Mohon Maaf – Peguam

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom hari ini (20 Ogos) menggesa agar individu atau pihak yang melabel anak guamnya sebagai pembunuh dan kejam susulan isu kematian seekor anjing bernama Rocky untuk tampil memohon maaf.

Pertuduhan Tidak Menyatakan Shah Telah Bunuh Anjing Tersebut

Jelas Muhammad Rafique, pertuduhan terhadap pemuda yang berusia 24 tahun itu tidak menyatakan bahawa anak guamnya telah membunuh anjing tersebut.

Muhammad Rafique turut membacakan pertuduhan yang menyatakan Muhammad Shah didakwa menjerut Rocky iaitu seekor anjing jantan menggunakan tali yang dibuat dalam bentuk gelung (loop) hingga menyebabkan haiwan terbabit kesakitan.

“Tolong beritahu saya, di mana perkataan ‘membunuh’, ‘menyeksa’ atau ‘memukul sehingga menyebabkan kematian’ dinyatakan dalam pertuduhan?

“Jika pertuduhan itu tidak mengandungi perkataan ‘membunuh’, maka kepada mereka yang selama ini melabel Shah Idham sebagai seorang yang kejam dan pembunuh, ini peluang terbuka untuk anda tampil dan memohon maaf kepadanya,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Telah Kenal Pasti Beberapa Individu Yang Telah Buat Hantaran Mengaibkan & Mendatangkan Ancaman

Jelas Muhammad Rafique, pihaknya sedang dalam proses memulakan saman sivil kepada beberapa individu termasuk pempengaruh yang didakwa membuat tuduhan terhadap Muhammad Shah.

Malah, dia menyifatkan dakwaan yang dikeluarkan kumpulan terbabit sebagai tuduhan melampau sehingga mengancam keselamatan anak guamnya itu.

“Apabila mereka bercakap dan membuat tuduhan, ia tidak memberi kesan kepada mereka tetapi memberi kesan kepada Shah Idham, keluarganya dan penduduk di kawasan kejiranan.

“Ada antara mereka yang terlibat kini berada di Parlimen, ada juga yang sudah tidak lagi berada di sana,” katanya.

Pihak Yang Mohon Maaf Belum Tentu Dikecualikan Dari Saman

Sewaktu ditanya sama ada pihak yang telah membuat permohonan maaf akan dikecualikan dari tindakan saman, Muhammad Rafique menjelaskan ia bergantung kepada jenis permohonan maaf yang dibuat.

“Sebab bila mereka bercakap, membuat kenyataan atau menulis, kesannya bukan kepada diri mereka sebaliknya kepada Shah dan keluarga selain rakan-rakannya malah penduduk kawasan itu dari segi ancaman keselamatan,” jelasnya lapor Harian Metro.

Peguam Tegas Shah Bukan Kakitangan Mana-Mana Jabatan, Hanya Sukarelawan

Pada masa sama, Muhammad Rafique menjelaskan pihaknya belum mendapat sebarang perkembangan mengenai laporan polis yang telah dibuat sebelum ini berhubung ancaman terhadap Muhammad Shah.

“Ingin ditegaskan bahawa Shah bukan kakitangan daripada mana-mana jabatan. Dia tidak bekerja dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), sebaliknya seorang sukarelawan,” katanya.

Malah, dia turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan termasuklah dakwaan bahawa Rocky merupakan anjing pit bull.

Ini kerana jelas Muhammad Rafique, baka sebenar anjing tersebut masih belum dikenal pasti.

Kesal Dengan Kenyataan Sesetengah Pihak Seolah-Olah Menyalahkan Kaum Tertentu

Muhammad Rafique turut meluahkan rasa kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh sesetengah pihak berhubung insiden terbabit seolah-olah menyalahkan kaum tertentu.

Dia juga turut menggesa orang ramai agar mengambil nasihat Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar untuk tidak memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Ini satu kejadian di mana seekor anjing telah mati, dan ia sungguh malang,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Shah dan seorang wanita yang didakwa pemilik Rocky, S Roghini Devi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini (20 Ogos).

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Shah didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung (loop) sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.

Roghini pula didakwa secara tidak munasabah menarik anjing yang sama.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta yang sama.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Anjing Rocky: Muhammad Shah & Roghini Devi Didakwa Di Mahkamah, Mengaku Tak Bersalah

Baca Artikel Berkaitan: Kes Anjing Rocky: Roghini Devi Didakwa Pelihara Anjing Tanpa Lesen

Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: Mekyun Mohon Maaf, Terlalu Cepat Buat Kesimpulan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved