Kes Rocky: Tiada perkataan 'membunuh' dalam pertuduhan, netizen dituntut mohon maaf - Peguam

20 Aug 2026 • 11:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes Rocky: Tiada perkataan 'membunuh' dalam pertuduhan, netizen dituntut mohon maaf - Peguam
Muhammad Rafique (depan, tengah) yang mewakili Muhammad Shah (kanan) ketika ditemui media di Mahkamah Sesyen Klang pada Khamis.

KLANG - Peguam mewakili lelaki dalam insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar baru-baru ini menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pembunuhan atau penyeksaan kejam seperti yang didakwa dan ditularkan di media sosial.

Peguam terbabit, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, berkata, pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen pada Khamis secara jelas hanya menyatakan anak guamnya dituduh secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan.

Beliau memohon agar pihak media serta netizen tidak memesongkan fakta kes atau mereka-reka cerita yang tidak wujud dalam kertas pertuduhan.

"Tolong beritahu saya, mana perkataan 'membunuh'? Mana perkataan 'seksa'? Mana perkataan 'pukul' atau 'memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian'?

"Kepada mereka yang selama ini melabelkan Shah sebagai seorang yang kejam, membunuh dan sebagainya, ini adalah peluang terbuka untuk anda memohon maaf kepada seorang pemuda yang baru berusia 24 tahun," katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Klang di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN:Kertas siasatan kes kematian Rocky diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

'Saya diugut, keluarga jadi sasaran selepas kematian anjing Rocky' -Muhammad Shah

Muhammad Shah kait kematian anjing 'Rocky' didakwa Khamis ini

Terdahulu, Muhammad Shah Idham dan pemilik anjing bernama Rocky, S Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, Roghini Devi didakwa secara tidak munasabah telah menarik, manakala Muhammad Shah dituduh menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu di sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique turut memperbetulkan tanggapan awam mengenai status anak guamnya dengan mengesahkan bahawa pemuda itu bukanlah kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang sebaliknya bertindak sebagai seorang sukarelawan.

Wanita didakwa pemilik Rocky turut dihadapkan ke mahkamah hari ini

Kes Rocky: Tiada perhimpunan, suasana mahkamah terkawal

Beliau juga menyokong kenyataan Ketua Polis Selangor yang memohon agar semua pihak tidak membesarkan isu tersebut atau membuat spekulasi liar mengenai baka anjing berkenaan.

"Shah telah tidak mengaku bersalah, memohon untuk dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM6,000. Beliau akan hadir ke mahkamah untuk mempertahankan dirinya.

"Selain itu, wanita yang mendakwa sebagai pemilik anjing berkenaan turut berdepan dua pertuduhan, satu di Mahkamah Sesyen yang akan dibicarakan bersama kes anak guam saya, dan satu lagi di Mahkamah Majistret," tambahnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved