Dua individu yang dikaitkan dengan insiden penangkapan anjing liar membabitkan Rocky mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.

Foto: Berita Harian
Memetik laporan Sinar Harian, S Roghini Devi, 42, yang merupakan pemilik Rocky, dan penghantar barang, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Rogini Devi didakwa melakukan perbuatan menarik anjing jantan itu secara tidak munasabah, manakala Muhammad Shah Idham pula dituduh menjerut Rocky menggunakan peralatan gelung tali atau ‘loop’ sehingga menyebabkan haiwan tersebut mengalami kesakitan.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.

Dalam masa sama, Rogini Devi turut akan menghadapi pertuduhan tambahan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Rocky dilaporkan mati ketika operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Taman Teluk Gedong Indah, Pelabuhan Klang, bulan lalu.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, menasihatkan orang ramai agar tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau demonstrasi berkaitan kematian Rocky.
Artikel lain: Dua individu termasuk wanita dipercayai pemilik anjing Rocky didakwa di mahkamah hari ini
Minggu lalu, Shah menafikan dakwaan bahawa beliau mendera atau membunuh Rocky ketika operasi penguatkuasaan di Taman Teluk Gedong Indah pada 29 Julai lalu.
Menurutnya, dakwaan tersebut timbul selepas satu video tular yang mendakwa beliau menyeksa dan membunuh anjing berkenaan. Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai sesuatu yang amat menekan dirinya, selain menegaskan kehadirannya di lokasi kejadian adalah bagi melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)






