
Kes kematian anjing bernama Rocky dalam operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu sememangnya menjadi perhatian.
Hari ini (20 Ogos), lelaki yang dikaitkan dengan kematian anjing tersebut, Muhammad Shah Idham Nor Haikal telah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang.
Malah, seorang wanita yang mendakwa dirinya adalah pemilik Rocky, S Roghini Devi juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang hari ini (20 Ogos).
Muhammad Shah & Roghini Devi Mengaku Tak Bersalah Sebabkan Kesakitan Terhadap Rocky
Terbaharu, Muhammad Shah & Roghini Devi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menarik dan menjerut sehingga menyebabkan kesakitan ke atas Rocky pada 29 Julai lalu.
Muhammad Shah & Roghini Devi membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mujib Saroji.
Roghini Devi Didakwa Menarik, Muhammad Shah Dituduh Menjerut
Berdasarkan pertuduhan, Roghini didakwa secara tidak munasabah telah menarik manakala Muhammad Shah pula dituduh menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali ‘loop’ sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu antara jam 11 malam sehingga 11.30 malam.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. Individu yang didapati bersalah juga boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, individu berdepan dengan hukuman denda di antara RM20,000 sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah Tetapkan Jaminan RM6,000 Setiap Seorang Penjamin
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap kedua-dua tertuduh.
Peguam yang mewakili Muhammad Shah, Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jaminan RM3,500 dengan Muhammad Shah tidak merisiko melarikan diri.
“Jaminan tidak seharusnya menjadi bentuk hukuman dengan cadangan jaminan itu adalah setimpal dengan hukuman pada seksyen pertuduhan.
“Syarat tambahan dikenakan adalah menekan belum didapati bersalah. OKS juga telah 22 tahun tinggal di tempat sama,” katanya.
Manakala, peguam, Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Roghini pula memaklumkan anak guammnya perlu menanggung keluarga selain suami Roghini juga merupakan orang kurang upaya.
“Dia adalah ibu kepada empat anak dan memohon jaminan RM3,500 tanpa syarat tambahan,” jelasnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap seorang penjamin. Kedua-duanya juga perlu melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.
Muhammad Shah Akui Terkejut Akan Didakwa Di Mahkamah Ekoran Kematian Rocky
Sebelum ini, Muhammad Shah mengakui dia masih belum mengetahui jenis pertuduhan yang akan dihadapinya di mahkamah.
Malah, dia juga terkejut selepas menerima waran yang memintanya hadir ke mahkamah bagi pertuduhan dipercayai di bawah Akta Kebajikan Haiwan.
“Saya memang tidak jangka akan dituduh minggu ini. Saya ada bertanya kepada pihak Jabatan Veterinar mengenai hasil siasatan, namun mereka memaklumkan jenis pertuduhan hanya akan diketahui ketika prosiding esok.
“Saya akan hadir bersama pihak Kumpulan Rukun Tetangga (KRT)” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Tahap Kesediaan Berhadapan Dengan Prosiding Hanya 50%
Kongsi Muhammad Shah yang bekerja sebagai penghantar makanan, tahap kesediaannya untuk menghadapi prosiding tersebut hanyalah sebanyak 50%.
Ini kerana jelasnya, dia baru sahaja menerima waran tersebut pada Isnin (17 Ogos) lalu.
“Saya sendiri tidak tahu berapa lama proses (termasuk perbicaraan) ini akan mengambil masa,” katanya.
Muhammad Shah Tegas Isu Kematian Rocky Tidak Dikaitkan Sentimen Perkauman
Pada masa sama, Muhammad Shah menegaskan kematian anjing bernama Rocky itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan sentimen perkauman.
Ini kerana jelasnya, hubungan di antara penduduk yang terdiri dari pelbagai kaum di kawasan terbabit masih baik.
“Ini bukan isu perkauman. Orang India di kawasan situ pun okey dengan saya. Saya sudah lebih 10 tahun tinggal di situ dan bekerja sebagai penghantar barang, jadi ramai penduduk di Taman Telok Gedong Indah mengenali saya.
“Saya juga pernah berjumpa dengan wanita yang mendakwa pemilik anjing itu sebelum kejadian, namun selepas insiden tersebut tiada sebarang pertemuan antara kami,” jelasnya.
Wanita Didakwa Pemilik Rocky Juga Dihadapkan Ke Mahkamah
Sebelum ini, media melaporkan Roghini Devi akan berdepan dengan beberapa pertuduhan di dua mahkamah berasingan.
Lapor Sinar Harian, sumber mengesahkan wanita itu menjadi antara individu yang dituduh. Malah, wanita berkenaan turut berdepan dengan pertuduhan lain di hadapan Majistret, A Karthiyayini.
Baca Artikel Berkaitan: Pemilik Rocky Akui Tiada Lesen Namun Mahu Siasatan Telus Dijalankan
Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: “Saya Tidak Hadir Malam Itu Dengan Niat Untuk Mencederakan, Jauh Sekali Untuk Membunuh” – Shah [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kes Anjing Rocky, Muhammad Shah Akan Didakwa Di Mahkamah Khamis Ini






