Kes berkaitan jerebu naik, KPJ jadi pilihan permintaan rawatan pernafasan - MBSB Research

Business & FinanceHealth & Fitness
18 Sep 2026 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kes berkaitan jerebu naik, KPJ jadi pilihan permintaan rawatan pernafasan - MBSB Research Image from: Kes berkaitan jerebu naik, KPJ jadi pilihan permintaan rawatan pernafasan - MBSB Research amree18/09/2026 - 09:46 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept — Pertambahan kes berkaitan jerebu dikhuatiri menambah beban kepada sistem kesihatan awam susulan lonjakan kehadiran pesakit, namun pengendali hospital swasta seperti KPJ Healthcare Berhad dilihat menjadi pilihan terhadap permintaan rawatan pernafasan, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, situasi jerebu yang semakin berlarutan, digabungkan dengan perubahan iklim dan peningkatan kerintangan antimikrob (AMR), boleh mewujudkan beban berganda kepada fasiliti kesihatan awam, apabila jumlah pesakit meningkat pada masa sama kes jangkitan bakteria menjadi lebih kompleks untuk dirawat.

 

Menurutnya, jerebu bukan sahaja mencetuskan peningkatan segera kes gangguan pernafasan seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), malah masalah AMR berpotensi memanjangkan tempoh kemasukan pesakit serta meningkatkan keperluan rawatan.

 

"Dalam konteks itu, hospital swasta berpotensi memperoleh manfaat menerusi peningkatan kunjungan ke jabatan kecemasan, kemasukan pesakit, penggunaan katil serta permintaan terhadap ujian diagnostik khusus dan rawatan rapi," jelas MBSB Research.

 

Justeru, KPJ Healthcare dilihat antara yang berpotensi meraih trend itu berikutan kedudukannya sebagai pengendali rangkaian hospital swasta domestik yang besar, selain pendedahan kepada permintaan rawatan bagi kes pernafasan dan jangkitan yang lebih kompleks.

 

Tambahnya, jangkitan yang mengalami komplikasi AMR boleh memerlukan tempoh tinggal di hospital lebih panjang, bilik pengasingan khusus, rawatan unit rawatan rapi (ICU) serta panel diagnostik bertahap tinggi, yang berpotensi meningkatkan hasil.

 

sektor penjagaan kesihatan_DagangNews2026

 

Pada masa sama, MBSB Research berkata, perubahan iklim turut boleh mempercepatkan AMR apabila peningkatan suhu dan tempoh cuaca kering yang berpanjangan mendorong perubahan persekitaran yang membantu bakteria mengaktifkan mekanisme kerintangan terhadap antibiotik.

 

"Jerebu rentas sempadan pula berpotensi menjadi medium fizikal kepada penyebaran bakteria dan menyumbang kepada keadaan persekitaran yang menyokong mekanisme perlindungan bakteria, sekali gus meningkatkan cabaran terhadap rawatan jangkitan," katanya.

 

Bagi subsektor farmaseutikal, MBSB Research menjangka isu jerebu menyokong permintaan terhadap ubat pernafasan seperti kortikosteroid sedutan, bronkodilator, antihistamin dan titisan mata, serta meningkatkan kepentingan vaksin dalam mencegah jangkitan yang membawa kepada penggunaan antibiotik.

 

Sementara itu, peningkatan keperluan membezakan keradangan saluran pernafasan akibat pencemaran udara daripada jangkitan bakteria turut membuka ruang kepada penggunaan peralatan diagnostik pantas, termasuk penganalisis gas darah serta kit ujian CRP dan prokalsitonin.

 

Sehubungan itu, ia kekal 'positif' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan KPJ Healthcare dan UMediC Group Berhad sebagai pilihan utama, masing-masing diberi penarafan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.35 dan 43 sen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved