
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya mengenai sejarah kehidupan lampau para sahabat Nabi Muhammad SAW di Kuala Terengganu, Terengganu pada hujung minggu lalu nyata mendapat perhatian.
Beliau yang dikecam hebat kemudiannya tampil memberi penjelasan tentang niat sebenar sebelum membuat permohonan maaf secara terbuka.
Jelas Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan maruah serta menghina insan terpilih (Sahabat Rasulullah SAW) yang dimuliakan Allah SWT.
Baca Artikel Berkaitan: Hina Sahabat Nabi: Nik Zawawi Mohon Maaf, Akui Kurang Cermat Olah Maklumat & Penyampaian [Video]
Niat Baik Belum Cukup Jika Kenyataan Dikeluarkan Bawa Fahaman Salah – Mufti Pulau Pinang
Terbaharu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman mengingatkan agar semua pihak termasuk pemimpin, pendakwah atau tokoh masyarakat berhati-hati dan cermat dalam mengeluarkan kenyataan membabitkan sejarah sahabat Rasulullah.
Ia bertujuan bagi mengelakkan daripada salah faham yang boleh mencetuskan kontroversi.
Tambah beliau, dalam adab ilmu dan dakwah, niat yang baik sahaja tidak cukup sekiranya lafaz yang digunakan boleh membawa kefahaman yang salah atau menjejaskan kemuliaan tokoh-tokoh agama yang dimuliakan syarak.
Turut Gariskan Beberapa Perkara Yang Perlu Diikuti Sebelum Keluar Kenyataan
Pada masa yang sama Mohd Sukki turut mengingatkan agar pihak berkenaan memberi perhatian kepada beberapa perkara sebelum mengeluarkan kenyataan tentang agama dan sejarah Islam.
“Pertama, seseorang hendaklah membezakan antara semangat berpidato dengan disiplin ilmu. Tidak semua analogi atau bahasa popular sesuai digunakan dalam isu agama, terutama apabila melibatkan Nabi SAW, para sahabat, ahli keluarga baginda dan simbol-simbol agama.
“Kedua, apabila sesuatu perkara bukan bidang kepakaran khusus seseorang, maka sewajarnya dibuat semakan terlebih dahulu dengan ahli ilmu atau sumber yang muktabar.
“Ketiga, tokoh masyarakat dan pemimpin perlu memahami bahawa setiap ucapan mereka mempunyai kesan besar kepada masyarakat awam.
“Kadangkala satu ungkapan yang dimaksudkan sebagai gurauan, analogi atau penyederhanaan sejarah boleh menimbulkan polemik, salah faham dan perpecahan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Sahabat Nabi Mempunyai Kedudukan Sangat Tinggi Dalam Islam
Mengulas lanjut isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang, Mohd Sukki menjelaskan sahabat Nabi Muhammad SAW mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam.
“Para ulama sangat menekankan adab tinggi ketika menyebut sejarah para sahabat, sekalipun ketika menceritakan latar belakang mereka sebelum Islam.
“Sebab itu, penggunaan istilah yang keras, sensitif atau berpotensi merendahkan martabat mereka walaupun dengan niat penerangan sejarah sewajarnya dielakkan, khususnya dalam ceramah umum yang didengari masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.
Puji Tindakan Nik Zawawi Mohon Maaf, Akhlak Yang Terpuji Dalam Islam
Pada masa yang sama, Mohd Sukki turut memuji tindakan Nik Zawawi yang membuat permohonan maaf atas kenyataan yang dibuatnya.
Jelas beliau, untuk menangani sesuatu polemik membabitkan agama, sikap berjiwa besar untuk mengakui kekhilafan dan memohon maaf merupakan akhlak yang terpuji dalam Islam.
“Tindakan Nik Muhammad Zawawi menarik balik kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka berhubung isu yang menyentuh sensitiviti terhadap Sahabat Nabi Muhammad SAW wajar dilihat sebagai suatu sikap bertanggungjawab dan matang demi menjaga keharmonian masyarakat serta kemuliaan tokoh-tokoh Islam,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Hina Sahabat Nabi: Nik Zawawi Mohon Maaf, Akui Kurang Cermat Olah Maklumat & Penyampaian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Hina Sahabat Nabi Dalam Ceramah, Ini Penjelasan Nik Zawawi [Video]





