Kes kematian pelajar 14 tahun: Polis rakam keterangan 92 saksi

22 Aug 2026 • 7:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes kematian pelajar 14 tahun: Polis rakam keterangan 92 saksi

SHAH ALAM, 22 OGOS: Polis telah merakam keterangan 92 saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun yang ditemukan menggantung diri di kediaman keluarganya di Jalan Langkawi, Setapak, Jumaat lalu.

Proses itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju susulan laporan terbaharu yang dibuat ibu pelajar berkenaan pada jam 7.49 petang, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan perkembangan itu dan berkata kes kini disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

"Kes masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada ibu pelajar berkenaan kira-kira jam 1.59 pagi, 18 Ogos lalu selepas mendapati anaknya tergantung di dalam bilik.

Katanya, pelajar itu dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas pada jam 2.25 pagi.

"Bedah siasat telah dijalankan dan pegawai perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur memaklumkan punca kematian ialah tekanan pada leher akibat tergantung.

"Pada peringkat awal, satu laporan mati mengejut (SDR) dibuka oleh Ketua Polis Balai Setapak," katanya.

Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat.

"Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Baldev Singh A/L Gurdial Singh di talian 03-92899222 atau 012-4806062, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved