Kes maut renjatan elektrik: ADUN Ijok desak padang futsal ditutup sementara

1 Sep 2026 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes maut renjatan elektrik: ADUN Ijok desak padang futsal ditutup sementara
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) didesak menutup sementara Padang Futsal Bestari Jaya di sini sehingga disahkan selamat susulan kematian seorang remaja lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain di gelanggang itu pada malam Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan berkata, kejadian yang meragut nyawa Muhammad Anas Norramin, 15, perlu dipandang serius dan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan keluarganya mendapat keadilan.

“Saya mahu pemergian Allahyarham adik Anas diberi perhatian sewajarnya dan keluarganya memperoleh keadilan atas tragedi yang berlaku.

“Sebagai ADUN Ijok, saya amat dukacita dengan insiden yang menimpa Allahyarham sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan mengenai kematian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang berehat selepas bermain futsal sebelum memegang sebatang tiang lampu yang disyaki mempunyai arus elektrik.

Mangsa kemudian rebah di kawasan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengulas lanjut, Jefri berkata, pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan terhadap sistem pendawaian, lampu, tiang serta semua kemudahan elektrik di kawasan tersebut.

“Laporan lengkap dan telus perlu disediakan berhubung punca kejadian, rekod penyelenggaraan serta pihak yang bertanggungjawab.

“Pada masa sama, audit keselamatan terhadap semua kemudahan rekreasi awam di bawah seliaan MPKS perlu dilaksanakan bagi mengelakkan tragedi sama berulang,” katanya.

Menurut beliau, keluarga Allahyarham juga perlu diberikan bantuan, perhatian dan pembelaan sewajarnya susulan tragedi berkenaan.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga ada nyawa lain terkorban sebelum tindakan diambil.

“Keselamatan kemudahan awam merupakan amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Jefri berkata, Allahyarham Muhammad Anas dikenali sebagai seorang anak dan sahabat yang baik, selain sering menghabiskan waktu Maghrib dan Isyak di Masjid Awwabin Bestari Jaya.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga dan masyarakat setempat.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH SWT mengampuni dan merahmatinya serta memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarganya,” ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved