KULAI - Seorang lelaki Nepal dan perempuan tempatan diberkas bagi membantu siasatan berhubung kes pemasangan terbalik bendera Malaysia dan negeri Johor di sebuah kilang di Indahpura di sini seperti yang tular di media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mereka ditahan jam 10.45 pagi pada Isnin selepas pihaknya mengesan gambar tular itu.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan berusia 34 dan 48 tahun.
“Suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai individu yang memasang bendera terbalik manakala wanita berkenaan disyaki orang yang menyerahkan serta mengarahkan pemasangan bendera tersebut.
“Turut dirampas, sehelai bendera Malaysia dan sehelai bendera negeri Johor serta jadual kerja,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Seng Lee berkata, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif.
Menurutnya, mereka direman empat hari sehingga 21 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (Mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 (Pindaan 2017), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 505b kanun keseksaan kerana mendatangkan khianat awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Semalam, sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Beberapa keping gambar pemasangan bendera terbalik itu turut tular di media sosial sebelum tindakan diambil pihak berkuasa.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu diambil sehingga pihak syarikat berkenaan tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.






