KEBELAKANGAN ini, negara digemparkan dengan berita kehilangan individu ketika melakukan aktiviti pendakian.
Kes melibatkan remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, yang hilang pada 23 Mei lalu dan akhirnya ditemukan maut di Bukit Changkat Asa selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.
Ketika ini, misi SAR untuk menjejaki pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian minggu lalu, masih diteruskan.
Dua kes tersebut kembali membuka perbincangan mengenai tahap keselamatan aktiviti rekreasi alam semula jadi di negara ini.
Walaupun aktiviti mendaki semakin popular dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda yang menjadikan hutan dan gunung sebagai destinasi riadah, insiden ini menimbulkan persoalan sejauh mana aspek persediaan, pematuhan prosedur keselamatan serta pemantauan di kawasan rekreasi dilaksanakan secara menyeluruh.
Antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah keperluan pendaftaran pendaki sebelum memasuki kawasan hutan atau laluan pendakian yang berisiko.
Meskipun sesetengah lokasi mewajibkan sistem pendaftaran, terdapat juga kawasan yang masih mempunyai kawalan longgar, sekali gus menyukarkan usaha mengesan individu sekiranya berlaku kejadian kecemasan.
Faktor kesiapsiagaan individu turut menjadi aspek kritikal kerana trend pendakian santai dalam kalangan orang awam kadangkala dilakukan tanpa pengetahuan mencukupi mengenai laluan, cuaca, tahap kesukaran serta keperluan peralatan asas keselamatan.
Situasi ini meningkatkan risiko terperangkap atau tersesat, khususnya di kawasan berbukit yang mempunyai laluan bercabang.
Dalam masa sama, aspek komunikasi awam juga memainkan peranan penting. Orang ramai perlu diberi pendedahan berterusan mengenai risiko aktiviti lasak serta kepentingan memaklumkan keluarga atau rakan mengenai lokasi dan tempoh aktiviti yang dilakukan.
Kes Jaslinda bukan sekadar insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan keperluan kepada pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan keselamatan rekreasi alam semula jadi.
Harapan utama masyarakat kini pastinya agar usaha pencarian dipergiatkan dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Dalam masa sama, insiden ini wajar menjadi titik tolak kepada penambahbaikan sistem keselamatan pendakian agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang.





