
ALOR SETAR: Penduduk di kawasan perumahan dan kampung sekitar Langgar, di sini mula cemas dengan kejadian ketukan misteri di rumah masing-masing sejak Sabtu lepas.
Seorang penduduk, Shahira Azizan, 31, memberitahu, kejadian tersebut turut berlaku di rumahnya malam tadi.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika saya berada di rumah bersama anak sementara suami berada di luar kerana menziarah kenalan yang baru meninggal dunia.
“Ketukan berlaku beberapa minit dan bunyi seperti orang marah melulu ingin masuk ke rumah tetapi saya teringat pesan suami jangan terus buka pintu. Apabila saya jenguk ke luar melalui tingkap kaca, saya dapati tiada sesiapa,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya semalam.
Ketukan misteri tersebut tular di media sosial sejak beberapa hari lepas bermula dari Langgar sehingga ke beberapa kawasan perumahan berdekatan sehingga semalam.
Tambah Shahira, suaminya yang pulang tidak lama kemudian memberitahu tentang kejadian yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.
“Nasib baik saya tidak membuka pintu seperti pesanan suami. Rupanya ketukan ini berlaku di kawasan lain juga. Selepas itu kami melihat rakaman CCTV rumah jiran dan mendapati tiada kelibat sesiapa ketika waktu kejadian,” ceritanya.
Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Sabarina, 35, berkata, rumahnya di Langgar turut mengalami kejadian yang sama kemarin.
“Kejadian berlaku dua kali pada pukul 10 malam dan 12 tengah malam dengan tiga ketukan selepas itu berhenti. Ketukan sangat kuat dan menggerunkan seperti orang tengah marah pun ada.
“Kami penduduk semua tidur tak lena sekarang terfikir kejadian ini, sebelum ini ketukan pintu berlaku tempat lain dan sekarang tempat kami pula,” ujarnya. – UTUSAN
The post Ketukan misteri, penduduk Alor Setar tidur tak lena appeared first on Utusan Malaysia.






