sarah13/11/2026 - 10:12 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov - Keuntungan Hartalega Holdings Berhad dijangka berdepan tekanan pada separuh kedua tahun kewangan berakhir Mac 2027 (2HFY27) apabila kenaikan kos bahan mentah, tarif gas dan persaingan harga sarung tangan mengehadkan keupayaan kumpulan mengekalkan margin keuntungan, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, walaupun keuntungan teras Hartalega bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 melonjak 369% kepada RM100 juta, prestasi kukuh itu mungkin tidak berterusan berikutan harga jualan purata (ASP) sarung tangan yang kembali menurun ketika kos pengeluaran meningkat.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa ASP sarung tangan kini berada sekitar AS$22 (RM89.10) bagi setiap 1,000 unit, berbanding kira-kira AS$27 (RM109.35) pada suku kedua, sekali gus meningkatkan risiko penyusutan keuntungan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Kos gas dan bahan mentah terus meningkat
RHB Research berkata, kenaikan tarif gas sebanyak 30% pada Oktober lalu hanya dapat dipindahkan sebahagiannya kepada pelanggan, manakala peningkatan tarif sebanyak 10% lagi pada Januari 2027 dijangka menambah kos pengeluaran sekitar RM1.50 bagi setiap 1,000 sarung tangan.
Tekanan itu turut diburukkan oleh kos getah nitril butadiena (NBR) yang tinggi serta kenaikan gaji minimum pada Jun 2027, dengan keseluruhan tambahan kos dianggarkan antara RM2 hingga RM2.50 bagi setiap 1,000 sarung tangan.
Sementara itu, TA Securities turut menjangkakan margin keuntungan Hartalega menyusut pada separuh kedua tahun kewangan 2027, berikutan lebihan kapasiti pengeluaran industri dan persaingan harga yang masih sengit, walaupun kumpulan berusaha memindahkan sebahagian kenaikan kos kepada pelanggan.
RHB turunkan unjuran keuntungan tiga tahun
Susulan tekanan kos itu, RHB Research menurunkan unjuran keuntungan teras Hartalega bagi tahun kewangan 2027, 2028 dan 2029 masing-masing sebanyak 5%, 11% dan 12%, dengan keuntungan teras dianggarkan RM131 juta bagi 2027 sebelum menyusut kepada RM104 juta pada 2028.
Jualan dijangka pulih pada suku ketiga
Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan jumlah jualan sarung tangan Hartalega meningkat kira-kira 10% pada suku ketiga tahun kewangan 2027, disokong pengaktifan semula Loji 3, dengan baki enam barisan pengeluaran dijadualkan mula beroperasi menjelang Januari 2027.
Dari segi prestasi kewangan, Hartalega mencatat keuntungan bersih RM32.8 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2027, meningkat hampir 80% berbanding tempoh sama tahun lalu, namun merosot 53.4% berbanding suku sebelumnya walaupun hasil meningkat kepada RM644.7 juta.
Mengambil kira prospek berkenaan, RHB Research mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran dikurangkan kepada 89 sen daripada 94 sen, manakala TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM1.13 sesaham, mencerminkan perbezaan pandangan kedua-dua firma terhadap pemulihan keuntungan Hartalega. - DagangNews.com






