
TAWAU: Acara 400 meter lelaki dan rejam lembing wanita mencetus sensasi di pentas Sukan Sabah (Saga) XI 2025 apabila dua atlet berjaya memecahkan rekod kejohanan di Kompleks Sukan Tawau, pada Khamis.
Pelari Kuala Penyu, Muhammad Khalil Helmi mengekalkan keunggulannya dalam acara 400 meter lelaki apabila bukan sahaja mempertahankan emas, malah berjaya memecahkan rekod Saga 2023 miliknya sendiri dengan catatan masa 47.98 saat, berbanding 48.70s sebelum ini.
Perak dimenangi atlet Kota Marudu, Ethannie Mojutan dengan catatan 49.00s manakala wakil Kota Kinabalu, Ady Putra Aqasha Norahimiee membawa pulang gangsa selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 49.42s.
Sementara itu, Maryjane Juberin dari Keningau turut mencipta sejarah baharu apabila menjuarai acara rejam lembing wanita dengan lontaran sejauh 38.62 meter, mengatasi rekod terdahulu 37.12m.
Keningau terus mengukuhkan kedudukan apabila Victer Ben Salleh @ Bindik menghadiahkan satu lagi emas menerusi acara lontar peluru lelaki dengan catatan 13.42m.
Dalam pada itu, Ranau mendominasi acara 1,500m lelaki dan wanita menerusi dua atletnya, Ray Juari dan Ledia Engku.
Bagi acara 400 meter wanita, emas menjadi milik atlet Kinabatangan, Valdame Orow, manakala Putatan berjaya mengungguli acara lompat kijang selepas Rico Andrew menewaskan pencabar terdekatnya, Mark Paladius dari Tambunan yang terpaksa berpuas hati dengan perak.
Kontinjen Pantai Timur membolot kedudukan tiga teratas bagi acara 110m lelaki berpagar.
Atlet Tawau, Muhammad Ilham Jaffar memenangi emas dengan catatan masa 14.77s meninggalkan atlet Lahad Datu, Mohammad Fiqrul Amri dan atlet Kalabakan, Muhammad Hazeeq Muizzudeen Maurice di tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa masing-masing 15.49s dan 15.86s. Acara itu turut mencatatkan rekod baharu kejohanan melalui atlet Lahad Datu, Muhd Fazrul Nizam Ajah pada peringkat separuh akhir dengan catatan masa 14.70s, memadamkan rekod 15.21s yang dicipta oleh atlet Kudat, Mohd Shafiee Mukamad pada 2013.
Sementara itu, bagi 100m lari berpagar wanita, atlet Tambunan, Abernetha Elissa Tadius berjaya mempertahankan pingat emas dengan catatan masa 15.36s menewaskan atlet Lahad Datu, Nurul Najwa Jainal Abadin dengan catatan masa 15.74s dan atlet Kota Kinabalu, Angel Bong Kai Xin di tempat ketiga dengan catatan masa 15.97s.
Acara 5,000m lelaki pula menyaksikan Muhammad Yusuf dari Lahad Datu merangkul emas dengan catatan masa 17:09.29s, diikuti pelari Kota Marudu, Hugh Howard Banius dan atlet Tongod, King Lomey Silo.
Hari kelima Saga XI turut menyaksikan catatan rekod baharu acara rejam lembing dalam pusingan kelayakan oleh wakil Kinabatangan, Mohammad Haiqal Jamal dengan catatan 54.21m mengatasi rekod 53.44m yang dicipta oleh atlet Beaufort, Mohd Azizie Masdone pada 2015.
Sebelum ini, Kontinjen Sandakan mendominasi hari keempat dengan meraih lima emas.
Emas Sandakan disumbangkan oleh pelari 400m lari berpagar lelaki, Dexter Palmin, Siti Norjahera Beliamor dalam 100m, kuartet 4x100m lelaki dan wanita serta lompat tinggi wanita menerusi Bernadith Nobert.
Tambunan, Putatan dan Kota Belud mengekori rapat dengan kesemuanya memperoleh dua emas beserta perak dan gangsa manakala Ranau, Kota Marudu dan Kalabakan turut mengutip satu emas.
Paling mencuri perhatian, kejayaan luar biasa Dexter yang mencipta rekod baharu dan atlet Putatan yang merangkul emas melalui acara lempar cakera lelaki dan wanita.
Turut mendapat tumpuan, Kalabakan mencuri satu pingat emas menerusi acara riben biru 100m pecut lelaki, Ranau dalam acara 800m lelaki, Kota Marudu menerusi acara lompat tinggi lelaki.
Tambunan mengutip emas melalui acara 400m lari berpagar wanita dan lompat jauh lelaki manakala Kota Belud mengungguli lompat jauh wanita serta 800m wanita.
Beberapa lagi acara yang menawarkan pingat akan berlangsung sebelum olahraga menutup tirai pada Jumaat.
