Kilang GMP baharu tingkatkan kapasiti Yenher kepada 31,200 tan setahun – Malacca Securities

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 12:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kilang GMP baharu tingkatkan kapasiti Yenher kepada 31,200 tan setahun – Malacca Securities Image from: Kilang GMP baharu tingkatkan kapasiti Yenher kepada 31,200 tan setahun – Malacca Securities liza26/08/2026 - 12:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Yenher Holdings Berhad dijangka mendapat manfaat daripada kilang baharu yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP), yang dijadualkan siap menjelang akhir 2026 kerana mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat sebanyak tiga kali ganda kepada 31,200 tan setahun.

 

Malaca Securities berkata perkembangan itu menjadi antara pemangkin kepada pertumbuhan Yenher selain usaha niaga Black Soldier Fly (BSF) yang telah memulakan pengeluaran pada Jun 2026.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan berhati-hati tetapi stabil terhadap prospek Yenher bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) disokong permintaan yang kekal berdaya tahan dalam industri ayam dan ternakan.

 

Prestasi keuntungan terus kukuh

Malacca Securities berkata Yenher mencatat keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM6.9 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat 26.9% berbanding suku sebelumnya dan 33.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi separuh pertama FY2026 (1HFY2026), PATMI teras meningkat 46.8% tahun ke tahun kepada RM12.4 juta, mewakili 50.4% daripada unjuran keuntungan FY2026 Malacca Securities sebanyak RM24.6 juta.

 

Prestasi itu juga bersamaan kira-kira 49.6% daripada anggaran konsensus keuntungan sebanyak RM25 juta, sekali gus menunjukkan keputusan Yenher secara keseluruhannya masih selari dengan jangkaan.

 

Dari segi hasil, pendapatan 2QFY2026 susut 0.6% tahun ke tahun kepada RM78.4 juta apabila hasil segmen pembuatan turun 22.1% kepada RM27.4 juta.

 

Namun, penurunan itu berjaya diimbangi oleh hasil segmen pengedaran yang meningkat 16.7% kepada RM51.1 juta, didorong jualan bahan tambahan makanan ternakan yang lebih kukuh.

 

Keadaan itu membantu keuntungan kasar meningkat 15.7% kepada RM16 juta, sekali gus menyokong pertumbuhan PATMI teras sebanyak 33.3% kepada RM6.9 juta.

 

Secara suku ke suku, hasil Yenher meningkat 28.5%, dipacu lonjakan 60.6% dalam hasil pengedaran kepada RM51.1 juta manakala hasil pembuatan turun 6.5% kepada RM27.4 juta.

 

Walaupun perbelanjaan jualan dan pengedaran meningkat, keuntungan bersih teras masih berkembang 26.9% berikutan keuntungan kasar yang lebih tinggi serta manfaat daripada peningkatan kecekapan operasi.

 

Prestasi 1HFY2026 dan prospek

Bagi 1HFY2026, hasil Yenher turun 7% tahun ke tahun kepada RM139.5 juta, namun keuntungan sebelum cukai meningkat 48.2% kepada RM16.4 juta manakala PATMI teras naik 46.8% kepada RM12.4 juta.

 

Malacca Securities berkata peningkatan keuntungan itu disokong prestasi segmen pengedaran yang lebih baik selain ketiadaan hapus kira inventori sebanyak RM1.78 juta yang direkodkan pada 1QFY2025.

 

Tiada dividen diisytiharkan oleh Yenher bagi suku berkenaan.

 

Malacca Securities mengekalkan unjuran keuntungan FY2026 serta saranan ‘Beli’ terhadap saham Yenher dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.98.

 

Firma itu berkata PATMI teras 1HFY2026 telah mencapai kira-kira 50.5% daripada unjuran FY2026, mengukuhkan pandangan bahawa prestasi keuntungan syarikat masih berada di landasan untuk mencapai sasaran.

 

Harga sasaran RM0.98 itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali, yang disandarkan kepada anggaran keuntungan sesaham (EPS) FY2026 sebanyak 8.21 sen.

 

Bagaimanapun, Malacca Securities mengingatkan bahawa Yenher masih terdedah kepada beberapa risiko termasuk wabak penyakit ternakan seperti ASF dan selesema burung, turun naik harga bahan mentah, mata wang asing serta gangguan rantaian bekalan dan geopolitik.

 

Risiko lain termasuk kelewatan atau peningkatan kos pembinaan kilang GMP baharu, cabaran pelaksanaan usaha niaga BSF dan peluasan kapasiti, kebergantungan tinggi kepada pasaran domestik serta perubahan peraturan dan piawaian keselamatan makanan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved