Kim Loong raih untung bersih RM169 juta bagi FY26 dipacu peningkatan pengeluaran sawit

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kim Loong raih untung bersih RM169 juta bagi FY26 dipacu peningkatan pengeluaran sawit Image from: Kim Loong raih untung bersih RM169 juta bagi FY26 dipacu peningkatan pengeluaran sawit amree03/06/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 JunKim Loong Resources Berhad mencatatkan peningkatan 4% keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada sebanyak RM168.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026.

 

Prestasi bagi FY26 itu lebih baik berbanding hanya RM161.42 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya, didorong terutama pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi.


Selain itu jelas kumpulan perladangan berkenaan kepada Bursa Malaysia, margin pemprosesan yang lebih besar, dan penambahbaikan berterusan dalam kecekapan operasi turut meningkatkan keuntungan.


"Pendapatan kumpulan naik 8% kepada RM1.82 bilion berbanding RM1.68 bilion pada FY25, berikutan volum jualan yang lebih tinggi dalam kedua-dua operasi perladangan dan pengilangan," kata Kim Loong.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula didapati melonjak kira-kira 6% kepada mencecah sebanyak RM271.37 juta, sekali gus mencatatkan rekod paling tinggi bagi sejarah kumpulan berkenaan sendiri.


Prestasi segmen operasi pengilangan tambahnya, berjaya memperoleh keuntungan mencecah RM122.23 juta, iaitu peningkatan 4%, dengan kadar perahan minyak (OER) yang lebih baik sebanyak 20.80%.


Sementara itu ujar Kim Loong, segmen operasi perladangan mencatatkan keuntungan RM157.53 juta, naik 12%, disokong oleh hasil FFB sehektar yang melonjak 14% kepada 23.53 tan metrik (MT).


"Dalam pada itu, segmen operasi tenaga boleh diperbaharui menyumbang hasil sebanyak RM12.97 juta melalui bekalan elektrik ke grid nasional, peningkatan 23% berbanding tahun sebelumnya," katanya.


Kumpulan berkenaan jelasnya, turut melaporkan pengeluaran FFB yang meningkat kira-kira 6% kepada 330,021 MT, manakala pengeluaran MSM bertambah 9% kepada 342,720 MT bagi tahun di bawah tinjauan.


Sebagai menghargai sokongan pemegang saham, Kim Loong mengumumkan dividen satu peringkat sebanyak 14 sen sesaham bagi FY26, merangkumi dividen interim pertama, dividen khas, dan interim kedua.


Melangkah ke hadapan, ia menyasarkan pertumbuhan 5% pengeluaran FFB bagi FY27 dan membina kilang minyak sawit keempatnya di Sarawak yang dijangka beroperasi dalam dua tahun lagi. - DagangNews.com

Terkini standard