Untung bersih Jasa Kita susut 23% kepada RM30 juta bagi FY26 susulan hasil pelupusan tanah lebih rendah

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Jasa Kita susut 23% kepada RM30 juta bagi FY26 susulan hasil pelupusan tanah lebih rendah Image from: Untung bersih Jasa Kita susut 23% kepada RM30 juta bagi FY26 susulan hasil pelupusan tanah lebih rendah amree03/06/2026 - 15:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 JunJasa Kita Berhad mencatatkan keuntungan bersih hanya RM30.38 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, susut 22.8% berbanding RM39.35 juta pada tahun yang sebelumnya.

 

Prestasi itu disebabkan oleh hasil pelupusan empat plot tanah industri pegangan bebas yang lebih rendah berbanding pelupusan tanah industri pajakan yang direkodkan pada tahun kewangan terdahulu.


Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Mac 2026 pula, kumpulan ini berjaya mengurangkan kerugian bersih kepada RM1.05 juta daripada kerugian sebanyak RM1.3 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.


"Penambahbaikan prestasi pada 4QFY26 disumbangkan oleh pengurusan kos operasi yang lebih berkesan, dan berjaya mengurangkan impak penurunan pendapatannya," maklum Jasa Kita kepada Bursa Malaysia.


Pendapatan tahunannya didapati merosot 9% kepada RM20.24 juta berbanding RM22.23 juta pada FY25, manakala hasil suku keempat turun 2.5% kepada RM4.72 juta berbanding RM4.84 juta bagi 4QFY25.


Penurunan pendapatan tahunan dipengaruhi jualan lebih rendah dalam bahagian alat tangan dan alat kuasa, namun sebahagiannya diimbangi pertumbuhan bahagian produk bilik mandi dan motor elektrik.


Melangkah ke hadapan, Jasa Kita sedang melaksanakan strategi untuk mengukuhkan asas aset, serta mempelbagaikan aktiviti perniagaan terutama selepas perubahan pemegang saham dan kepimpinan utama.


"Antara langkah korporat yang sedang dijalankan pihak pengurusan termasuk cadangan pertukaran nama syarikat kepada OTEQ Berhad bagi mencerminkan hala tuju baharu kumpulan berkenaan," jelasnya.


Syarikat tersebut juga tambahnya, dalam proses untuk mengambil alih ekuiti kira-kira 55% pegangan dalam SPPH Eco Biomass Resources Sdn Bhd dan kesemua 100% kepentingan dalam KT System Sdn Bhd.


Pada masa sama, Jasa Kita berhasrat untuk menceburi bidang pembinaan utiliti infrastruktur tenaga dan perniagaan yang berkaitan tenaga bagi mempelbagaikan aliran pendapatan dalam jangka panjang.


Dalam pada itu, syarikat turut mengumumkan sudah berjaya memenuhi sepenuhnya syarat sebaran pegangan saham awam sebanyak 25.07% setakat 30 April 2026 selaras peraturan yang ditetapkan.


"Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan yang berhati-hati terhadap prospek masa depan kumpulan melalui strategi penyusunan semula dan penerokaan peluang perniagaan baharu," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard