amree03/06/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Guan Chong Berhad mencatatkan keuntungan bersih naik kepada RM123.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM94.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan prestasi kira-kira 30.63% itu didorong terutamanya oleh faktor kos kewangan yang lebih rendah berikutan daripada langkah pengurangan jumlah pinjaman kumpulan bagi suku semasa tersebut.
Syarikat pemprosesan koko itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM150.9 juta berbanding RM118.1 juta pada suku pertama 2025.
"Bagaimanapun, hasil bagi tempoh tiga bulan tersebut menyusut kira-kira 39.1% kepada RM2.62 bilion berbanding sebanyak RM4.31 bilion pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya," kata Guan Chong.
Penurunan pendapatan secara ketara ini tambah kumpulan tersebut, disebabkan oleh faktor harga jualan ke atas pelbagai produk koko keluaran syarikat yang lebih rendah di pasaran antarabangsa.
Selaras dengan prestasi positif tersebut, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.
Mengenai prospek masa hadapan, Guan Chong menjangkakan harga koko kekal stabil susulan pembetulan harga daripada paras tertinggi tahun lalu, disokong oleh aspek bekalan dan cuaca yang lebih baik.
"Kumpulan turut mengunjurkan permintaan coklat pulih pada separuh kedua 2026, khususnya pada suku keempat, memandangkan penurunan harga koko akan menjadikan produk coklat semakin murah," katanya.
Syarikat itu namun tetap berwaspada terhadap ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah serta fenomena El Niño yang mungkin menjejaskan bekalan koko dalam kitaran tanaman akan datang. - DagangNews.com






