
KUALA LUMPUR – Nama Khairul Aming kembali menjadi perhatian selepas isu beliau dilabel sebagai kapitalis hangat diperkatakan di media sosial.
Terdahulu, seorang individu mengkritik pendekatan perniagaan Khairul Aming sehingga menggunakan istilah tersebut terhadap usahawan terkenal itu.
Khairul Aming kemudiannya tampil memberikan respons menerusi Threads. Menurut beliau, agak menyedihkan apabila usahawan dari negara lain boleh berkembang dan maju dalam perniagaan, tetapi apabila usahawan tempatan mahu melakukan perkara sama, ia pula dipandang serong.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan sesebuah perniagaan bukan hanya memberi manfaat kepada pemiliknya, sebaliknya turut melibatkan pekerja, pembekal, vendor, penghantar, pelanggan serta negara melalui cukai dan zakat.
“KA Bermula Dari Bawah”
Terbaharu, seorang pengguna Threads tampil mempertahankan Khairul Aming sambil mengingatkan orang ramai tentang perjalanan panjang yang telah dilalui beliau sebelum mencapai kejayaan hari ini.
Menurut pengguna tersebut, ramai hanya melihat hasil dan kejayaan yang dimiliki Khairul Aming sekarang, namun tidak menyaksikan kesusahan serta pengorbanan yang pernah dilaluinya ketika membina perniagaan dari bawah.
“KA bermula dari bawah. Susah sendiri, usaha sendiri sampai jatuh sakit.
“Kita nampak hasilnya je, tapi tak pernah nampak sakit yang dia tanggung untuk sampai ke tahap ni.”
Pengguna itu turut menyentuh mengenai usaha Khairul Aming membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta membina kilang sendiri selepas melalui perjalanan panjang dalam dunia perniagaan.
Perkongsian tersebut turut menerima sokongan daripada netizen lain yang bersimpati dengan situasi dihadapi Khairul Aming.
Bagi mereka, tidak semua orang melihat apa yang berlaku di sebalik kejayaan seseorang. Apa yang kelihatan hari ini mungkin hasil daripada bertahun-tahun usaha, risiko dan pengorbanan.
Semalam pula, nama Khairul Aming terus menjadi perhatian apabila beliau menyertai sesi live Rumah Nyet sempena program Creator All Star. Sesi tersebut turut mencuri perhatian apabila jualan dilaporkan mencecah RM1 juta dalam tempoh hanya 17 minit.
Apa pun pandangan terhadap cara seseorang mengembangkan perniagaan, satu perkara yang sukar dinafikan ialah perjalanan Khairul Aming daripada bermula sendiri sehingga berjaya membina perniagaan besar bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. – The Malaysian Update
The post “Kita Nampak Hasilnya Je…” – Netizen Tampil Pertahankan Khairul Aming Selepas Isu ‘Kapitalis’ appeared first on The Malaysian Update.






