sarah24/11/2026 - 11:57 Gambar dari laman web Kementerian Pengajian Tinggi Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan baki dana penyelidikan terkumpul melebihi RM225 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbiar selama hampir dua dekad berikutan kelemahan pemantauan dan ketiadaan dasar pemulangan wang yang jelas.
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelemahan pengurusan dana awam turut menyaksikan baki geran penyelidikan berjumlah RM183.11 juta di 11 agensi pelaksana gagal dipulangkan kepada kerajaan.
Beliau berkata, ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) negara kini berada dalam keadaan membimbangkan akibat kepincangan tadbir urus, kelemahan perancangan strategik dan kekurangan kepimpinan teknikal yang berisiko menjejaskan daya saing teknologi perindustrian Malaysia di peringkat antarabangsa.
PAC cadang sekat pemberian geran baharu
Susulan penemuan itu, PAC mengesyorkan supaya kerajaan mewajibkan semua institusi pengajian tinggi dan agensi pelaksana memulangkan baki geran penyelidikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas projek tamat.
Institusi dan agensi yang gagal mematuhi ketetapan tersebut disyorkan dikenakan penalti peruntukan atau sekatan pemberian geran baharu, selain Kementerian Ekonomi diminta menstruktur semula Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) bagi memperkukuh penyelarasan pembiayaan penyelidikan negara.
“Kerajaan tidak boleh lagi sekadar meluluskan peruntukan tanpa memantau kejayaan dan hasil sebenar sesuatu projek,” kata Mas Ermieyati dalam kenyataan hari ini.
Kehilangan aset dan pembaziran dana penyelidikan
PAC turut mendedahkan kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala hak cipta peranti berkenaan didaftarkan atas nama bekas ketua penyelidik dan bukannya kerajaan.
Selain itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) didapati menggunakan RM33.8 juta atau 26.9% daripada dana RDCI untuk perbelanjaan mengurus, termasuk tuntutan perjalanan dan elaun kakitangan kontrak, bertentangan dengan garis panduan penyelidikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Kelewatan selama 15 bulan bagi projek naik taraf bangunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terjejas akibat kulat dan asbestos pula menjejaskan 27 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyebabkan kerajaan menanggung kerugian tambahan RM1.81 juta bagi sewaan makmal luar.
Malaysia berisiko kekal sebagai pengguna teknologi
PAC turut memberi amaran bahawa kegagalan mengkomersialkan hasil penyelidikan tempatan berisiko menyebabkan Malaysia kekal sebagai pengguna teknologi yang bergantung kepada kepakaran asing, sedangkan perbelanjaan kasar R&D negara hanya mencatatkan 1.01% berbanding sasaran 2.5%.
Bagi menangani kelemahan itu, PAC mengesyorkan supaya setiap permohonan geran pengkomersialan disokong komitmen kewangan daripada rakan industri, selain mewujudkan platform pelaburan nasional yang menghubungkan hasil penyelidikan tempatan dengan pelabur, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan firma modal teroka.
Penyata PAC mengenai program RDCI yang dibentangkan di Parlimen hari ini adalah susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang melibatkan pengauditan tadbir urus enam kementerian utama, termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan KPT.- DagangNews.com






