
PUTRAJAYA- Kementerian Kewangan (MoF) telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta setakat ini bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor di bawah projek pembangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, pada masa sama, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen oleh kementerian itu.
Beliau menegaskan, tiada sebarang sekatan telah dibuat ke atas peruntukan kementerian itu berhubung jalan luar bandar dan ia telah disalurkan sepenuhnya.
“Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya.
“Sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengikut rekod MoF, sejak tahun 2023, perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan sebenar iaitu RM1.8 bilion (perbelanjaan) berbanding RM1.1 bilion (peruntukan), diikuti RM2 bilion perbelanjaan melebihi RM1.3 bilion (2024) dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion (2025).
Bagi tahun ini pula setakat data terkini, perbelanjaan KKDW adalah pada RM1.9 bilion berbanding RM2.1 bilion peruntukan sebenar.
Katanya, MoF bekerjasama dengan KKDW untuk menangani isu itu antaranya dengan mengatur semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.
Jelasnya, setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang telah diluluskan Parlimen. – KOSMO! ONLINE
The post KKDW belanja lebih peruntukan sebenar, RM300 juta tambahan bantu bayar tunggakan appeared first on Kosmo Digital.






