Kementerian Kewangan (MoF) menafikan terdapat sebarang sekatan terhadap peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya keseluruhan peruntukan berkenaan telah disalurkan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.
“Tiada sebarang sekatan telah dibuat ke atas peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar.
“Peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya. Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kebimbangan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai masalah yang dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah kementeriannya.
Ahmad Zahid sebelum ini menjelaskan beliau bukan marah, sebaliknya “panas” melihat masalah yang berlaku sehingga memberi kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan.
Dalam pada itu, Johan berkata setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang diluluskan Parlimen.
Katanya, sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.

Berdasarkan rekod MoF, KKDW menerima peruntukan RM1.1 bilion pada 2022 dan membelanjakan jumlah sama.
Bagaimanapun, perbelanjaan sebenar meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024, RM2 bilion dibelanjakan berbanding RM1.3 bilion yang diperuntukkan.
Pada 2025 pula, KKDW menerima peruntukan RM1.6 bilion, namun perbelanjaan sebenar mencecah RM2.3 bilion.
Bagi 2026, sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan dengan RM1.9 bilion telah dibelanjakan sehingga Jun lalu.
Johan berkata MoF bekerjasama dengan KKDW bagi menangani isu berkenaan, antaranya dengan mengatur semula peruntukan berdasarkan keutamaan.
“Setakat ini, bagi tahun 2026, MoF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor,” katanya.
Selain itu, katanya, MoF sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.
Sumber: Sinar Harian (Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan)






