johardy02/09/2026 - 18:23 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempertikaikan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) bahawa kementerian itu sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
KKDW turut menegaskan bahawa RM300 juta yang disalurkan bagi menampung tunggakan pembayaran bukan peruntukan tambahan baharu seperti yang dinyatakan MOF.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan MOF tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar, khususnya berkaitan komitmen projek daripada tahun-tahun sebelumnya serta keperluan pembayaran kepada kontraktor.
Beliau berkata, Tatacara Kewangan Kerajaan tidak membenarkan kementerian sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan kerana setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan, Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).
Malah, katanya, setiap projek atau program pembangunan perlu mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi, manakala sebarang perbelanjaan tidak teratur atau melebihi peruntukan tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan.
“Justeru, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam kenyataan di laman fb beliau hari ini.
Kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Respons Fadzmel itu menyusuli kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican pada Rabu bahawa "tiada sekatan dikenakan ke atas peruntukan KKDW bagi jalan luar bandar dan peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya".
Dalam kenyataan itu, MOF berkata, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.
Menurut MOF, KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
Data MOF menunjukkan pada 2022, peruntukan yang diluluskan berjumlah RM1.1 bilion dengan perbelanjaan sebenar pada jumlah sama.
Pada 2023, perbelanjaan sebenar meningkat kepada RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024 sebanyak RM2 bilion dibelanjakan berbanding peruntukan RM1.3 bilion.
Pada 2025, perbelanjaan sebenar berjumlah RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Bagi 2026, peruntukan yang diluluskan ialah RM2.1 bilion, manakala perbelanjaan sebenar mencecah RM1.9 bilion sehingga Jun 2026.
MOF berkata, ia bekerjasama dengan KKDW bagi menangani isu berkenaan, antaranya dengan mengatur semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.
Kementerian itu juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung apa yang disifatkannya sebagai keterlebihan komitmen oleh KKDW.
RM300 juta bukan peruntukan tambahan - KKDW
MOF dalam kenyataan sama berkata, bagi 2026 ia telah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Bagaimanapun, Fadzmel berkata, RM300 juta itu bukan peruntukan tambahan, sebaliknya peruntukan yang sewajarnya disalurkan bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran daripada tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September selepas isu itu dibangkitkan sekali lagi pada pagi hari sama oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan RM300 juta tersebut sebagai peruntukan tambahan baharu kepada KKDW,” katanya.
Fadzmel berkata, KKDW menghargai kelulusan dan penyaluran RM300 juta berkenaan, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang sedang dihadapi.
Menurutnya, pelarasan hanya akan dibuat pada hujung 2026 berdasarkan penjimatan atau lebihan baki peruntukan kementerian.
KKDW mahu data 2019 hingga 2021 diambil kira
Fadzmel berkata, kenyataan MOF tidak menyertakan data bagi 2019, 2020 dan 2021 yang menurutnya penting untuk melihat keseluruhan kedudukan antara komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.
Katanya, dalam tempoh pandemik COVID-19, pelaksanaan sebahagian projek terjejas, namun Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu telah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud antara 2019 hingga 2021.
Apabila projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya.
Menurut Fadzmel, apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak.
Katanya, projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya.
KKDW mohon peruntukan pada suku kedua
Fadzmel berkata, KKDW telah mengambil langkah kawalan lebih awal termasuk menyusun semula peruntukan dalaman kementerian, mengehadkan komitmen baharu, membatalkan tender tertentu yang berimpak tinggi kepada masyarakat desa serta mengehadkan projek pada peringkat pra-pelaksanaan.
KKDW turut mengemukakan permohonan rasmi kepada MOF pada suku kedua 2026 bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek yang sedang berjalan.
Menurutnya, beberapa sesi konsultasi dan perbincangan telah diadakan bersama MOF dan Jabatan Kerja Raya (JKR), tetapi sebahagian perkara yang dibangkitkan masih tertangguh dan belum mendapat penyelesaian yang tuntas.
Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan berkenaan tidak dibayar secara terus oleh KKDW kepada kontraktor pelaksana, sebaliknya disalurkan kepada JKR atau agensi yang menyelia pelaksanaan projek.
Fadzmel berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi pertikaian antara kementerian dan tumpuan perlu diberikan kepada penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah wujud.
“KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, langkah itu juga bagi mengelakkan persepsi seolah-olah KKDW melakukan kesalahan dalam perbelanjaan atau tidak berhemah dalam menguruskan amanah peruntukan kerajaan. - DagangNews.com






