
SHAH ALAM – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas terlibat dalam Program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Se-Malaysia 2026 di UiTM Kampus Jengka, Pahang, hari ini.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, pelajar berkenaan, Liya Zafirah Muhammad dari UiTM Cawangan Perak, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Menurut beliau, seorang lagi pelajar, Meor Aqil Wildan dari UiTM Cawangan Perlis, turut menerima rawatan dan pemantauan di hospital sama.
Lima lagi pelajar yang direkodkan menerima rawatan di Hospital Jengka merangkumi Nur Nabihah Musyidah Md. Nasri dari UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat; Nur Alia Farhana Abdul. Fattah dari UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengk.
“Selain itu, Muhamad Adam Azfar Suzaini dan Muhammad Anas Shahrul Nizat dari UiTM Cawangan Johor serta Izzharith Zafran Muhammad Zulkarnain dari UiTM Cawangan Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrin berkata, UiTM akan terus berhubung rapat dengan pihak hospital dan keluarga pelajar bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya.
“Sehubungan itu, sebagai langkah segera susulan insiden ini, pertandingan yang melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada hari ini telah dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata, UiTM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan, selain meneliti keseluruhan aspek penganjuran termasuk prosedur keselamatan, saringan kesihatan, pengurusan risiko serta tindakan kecemasan.
“UiTM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki dan memperkukuh setiap proses yang terlibat. Keselamatan, kesihatan dan kebajikan mahasiswa tidak boleh dikompromi,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrin memaklumkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, telah diarahkan untuk memantau secara rapi perkembangan insiden ini serta memastikan kebajikan keluarga Allahyarham, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal, 21, pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan semua pelajar yang terlibat diberikan perhatian sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE
The post KKEC UiTM: Seorang pelajar masih dirawat di ICU appeared first on Kosmo Digital.






