
MARAN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai Program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Se-Malaysia 2026 di UiTM Kampus Jengka di sini, hari ini.
Difahamkan mangsa yang merupakan peserta daripada UiTM cawangan Negeri Sembilan meninggal dunia awal pagi tadi.
Sementara itu, seramai lapan orang peserta dikejarkan ke Hospital Jengka kerana tidak sedarkan diri atau sawan.
Setakat ini tiada laporan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai punca kejadian.
Menurut kenyataan UiTM Cawangan Pahang, pengurusan UiTM menzahirkan rasa amat berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Farhan Fakhry Solana Mohd Fellimal yang merupakan peserta program berkenaan.
“Pihak pengurusan sentiasa mengutamakan kebajikan warganya, justeru UiTM sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan keluarga Allahyarham.
“Pihak pengurusan universiti telah menggerakkan bantuan komprehensif bagi memastikan segala urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan serta keperluan sokongan emosi kepada keluarga mangsa berjalan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook UiTM cawangan Pahang.
Dalam kenyataan sama, penganjur telah memutuskan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan demi keselamatan dan keselamatan semua pelajar.
Tambahnya, program tahunan yang menghimpunkan komander kesatria dari seluruh negara yang dijadual dari 2 hingga 8 September itu telah melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.
Jelasnya, semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan kesihatan berkala sebelum setiap acara bermula.
“Malah beberapa peserta terdahulu telah pun diminta menarik diri selepas didapati tidak melepasi saringan akhir tersebut.
“Pihak UiTM amat memandang serius insiden ini dan akan terus memantau rapi situasi semasa bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat terpelihara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post KKEC UiTM: Seorang meninggal dunia, 8 lagi tak sedar diri appeared first on Kosmo Digital.






