
KUDAT: Masyarakat khususnya komuniti nelayan di sekitar Kudat perlu mengutamakan aspek keselamatan dan bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat, Hasbullah Omar berkata masyarakat tidak seharusnya teragak-agak menyalurkan sebarang maklumat kepada pasukan keselamatan sekiranya mengetahui atau melihat kejadian yang boleh mengancam keselamatan perairan negara.
Beliau berkata nelayan dan komuniti maritim merupakan golongan yang paling hampir dengan persekitaran laut, justeru pengetahuan serta maklumat yang dimiliki mereka amat bernilai bagi membantu pihak berkuasa mengesan kejadian atau aktiviti mencurigakan.
“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan demi kesejahteraan bersama, lebih-lebih lagi “Kudat mempunyai kedudukan geografi yang strategik dengan aktiviti perikanan, pengangkutan laut, perdagangan dan pelbagai kegiatan ekonomi termasuk pelancongan.
“Oleh itu, jangan teragak-agak untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kami sekiranya mengetahui atau melihat kejadian yang boleh mengancam keselamatan perairan negara,” katanya ketika berucap pada Program Sahabat Maritim di Sidek Esplanade Kudat, Selasa lepas.
Program yang memberi tumpuan kepada sesi libat urus keselamatan perairan bersama komuniti nelayan Daerah Kudat itu dilaksanakan dengan kerjasama Petronas dan Hibiscus Petroleum, selain melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Taman-Taman Sabah.
Turut hadir Pengurus Kanan (Pengeluaran) Petronas Carigali Sdn Bhd, Mohd Fariq Mohd Yasin; Pengurus Sekuriti Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Ahmad Azrul Nizam M Zainal; Pengurus Kecemerlangan Operasi, Petronas Floating LNG, Kuvesvaram Paramasivan; dan Pengurus Kanan Sekuriti dan Pengurusan Krisis Hibiscus Petroleum, Mohd Hisyamudin Mohd Yunos.
Pada majlis itu, seramai 200 nelayan menerima sumbangan berupa peralatan menangkap ikan dan bakul makanan daripada Petronas.
Hasbullah berkata Program Sahabat Maritim bukan sekadar menjadi platform pertemuan antara agensi penguatkuasaan dengan masyarakat, malah turut berperanan membina hubungan, mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata keselamatan dan kesejahteraan perairan bukan tanggungjawab Maritim Malaysia semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan serta kerjasama semua pihak termasuk jabatan kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor korporat, persatuan nelayan dan masyarakat.
“Program seperti ini amat penting sebagai ruang untuk mendengar pandangan, memahami kekuatan serta mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi komuniti maritim.
“Masyarakat, khususnya golongan nelayan, merupakan antara rakan penting maritim dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga keselamatan komuniti maritim, khususnya nelayan ketika menjalankan aktiviti di laut.
Katanya, setiap pengguna laut perlu memastikan bot berada dalam keadaan baik, memakai jaket keselamatan, mengambil maklum keadaan cuaca serta melengkapkan diri dengan peralatan keselamatan yang bersesuaian sebelum turun ke laut.






