
PETALING JAYA – Konsert Kelate KL 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini terpaksa ditangguhkan susulan beberapa perkara tidak dapat dielakkan dan memerlukan penyelarasan lanjut.
Penganjur utama, Natriya Enterprise bersama Ikarl Project bersama Irama Entertainment memaklumkan tarikh baharu acara yang sepatutnya berlangsung di Zepp Kuala Lumpur tersebut hanya akan diumumkan selepas segala proses berkaitan dimuktamadkan.
“Keputusan menangguhkan Konsert Kelate KL 2026 dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara tidak dapat dielakkan serta memerlukan pertimbangan dan penyelarasan lanjut.
“Kami memahami penangguhan ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada peminat, terutama mereka sudah membuat perancangan awal untuk hadir.
“Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan serta amat menghargai kesabaran, pemahaman dan sokongan berterusan daripada semua peminat,” menurut kenyataan penganjur.
Dalam pada itu, penganjur memberi jaminan pengumuman rasmi mengenai tarikh baharu akan dibuat menerusi saluran komunikasi rasmi sebaik sahaja keputusan berkenaan dimuktamadkan.
Bagi pemegang tiket menerusi platform Ilasso pula, proses pemulangan wang atau bayaran balik akan disediakan.
“Maklumat lanjut berkaitan proses bayaran balik, termasuk kaedah serta tempoh pemulangan wang, akan diumumkan menerusi saluran rasmi penganjur dan platform tiket Ilasso dalam masa terdekat.
“Pemegang tiket dinasihatkan menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan serta maklumat tiket masing-masing bagi melancarkan proses bayaran balik,” jelasnya.
Walaupun terpaksa ditunda, penganjur menegaskan semangat membawa identiti Kelantan ke ibu negara kekal menjadi teras utama Konsert Kelate KL 2026.
Konsert tersebut dirangka sebagai platform meraikan muzik, budaya serta identiti Kelantan di Kuala Lumpur menerusi slogan ‘Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate’.
Lebih menarik, konsep acara turut mengetengahkan elemen warisan negeri seperti Dikir Barat dan Wayang Kulit sebagai sebahagian daripada pengalaman seni serta budaya bakal dipersembahkan kepada peminat. – KOSMO! ONLINE.
The post Konsert Kelate KL 2026 tangguh, pembeli tiket akan terima ‘refund’ appeared first on Kosmo Digital.





