
PETALING JAYA: Konsert Kelate KL 2026 yang sepatutnya berlangsung pada 29 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Menurut Natriya Enterprise selaku penganjur utama, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan serta penyelarasan lanjut.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan serta memerlukan pertimbangan dan penyelarasan lanjut bagi memastikan keseluruhan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Pihak penganjur memahami bahawa penangguhan ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada para peminat yang telah membuat perancangan awal untuk menghadiri Konsert Kelate KL 2026,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Konsert Kelate KL 2026 itu turut dianjurkan bersama Ikarl Project serta mendapat sokongan Irama Entertainment.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut memohon maaf kepada peminat atas penangguhan tersebut, selain memaklumkan mereka bakal mengumumkan tarikh baharu konsert anjuran bersama Ikarl Project dan Irama Entertainment tersebut.
“Pihak penganjur ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan daripada semua peminat dan pihak yang telah bersama-sama menyokong perjalanan acara ini.
“Tarikh baharu Konsert Kelate KL 2026 akan diumumkan selepas segala proses
penyelarasan berkaitan dimuktamadkan.
“Pihak penganjur akan membuat pengumuman rasmi berhubung tarikh baharu melalui saluran komunikasi rasmi sebaik sahaja keputusan tersebut dimuktamadkan,” jelasnya.
Sementara itu, pihak penganjur juga memaklumkan pemegang tiket yang sudah membuat pembelian boleh mendapatkan pemulangan wang tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.
“Bagi pemegang tiket yang telah membuat pembelian melalui platform Ilasso, pihak penganjur akan menyediakan proses pemulangan wang.
“Maklumat lanjut berhubung proses refund, termasuk kaedah dan tempoh pemulangan wang, akan diumumkan melalui saluran rasmi penganjur dan platform tiket Ilasso dalam masa terdekat.
“Pemegang tiket dinasihatkan untuk menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan dan maklumat tiket masing-masing bagi melancarkan proses tersebut,” katanya.
The post Konsert Kelate KL 2026 ditangguhkan ke tarikh baharu appeared first on Utusan Malaysia.






