Kontrak baharu buka potensi Kerjaya Prospek ceburi lebih banyak kerja cerucuk pangsapuri - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu buka potensi Kerjaya Prospek ceburi lebih banyak kerja cerucuk pangsapuri - Penganalisis Image from: Kontrak baharu buka potensi Kerjaya Prospek ceburi lebih banyak kerja cerucuk pangsapuri - Penganalisis amree15/09/2026 - 10:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept — Kontrak baharu Kerjaya Prospek Group Berhad untuk kerja cerucuk dan substruktur pembangunan pangsapuri di Pulau Pinang membuka potensi kepada kumpulan itu memperoleh kerja struktur utama bagi projek sama pada masa depan, menurut penganalisis.

 

Mereka merujuk kejayaan pemerolehan tender bernilai sekitar RM38 juta yang diberikan oleh anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O), Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) bagi pembangunan pangsapuri mampu milik di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman.

 

Antaranya, Phillip Capital yang dalam analisisnya, terus mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) RM4.06 sesaham, sambil menyifatkan kontrak itu sebagai tambahan positif kepada buku tempahan syarikat itu.

 

"Kami menganggarkan kontrak ini menyumbang RM4 juta kepada keuntungan selepas cukai (PAT) Kerjaya Prospek sepanjang 2026 hingga 2028, berdasarkan margin bersih projek sebanyak 11%, dan melihat potensi meraih kerja struktur utama bagi pembangunan sama," jelasnya.

 

Firma itu berkata kumpulan berkenaan sudah merekodkan kontrak baharu bernilai RM3.4 bilion setakat tahun ini, termasuk kontrak yang belum diumumkan berjumlah RM117.1 juta, sekali gus mencapai 85% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan 2026 sebanyak RM4 bilion.

 

Buku tender kumpulan tersebut pula jelas Phillip Capital mencecah nilai sekitar RM2 bilion meliputi pelbagai projek pusat data (DC), hospital, kemudahan semikonduktor dan infrastruktur.

 

Kerjaya Prospek_DagangNews2026

 

Sementara itu, Apex Securities mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Kerjaya Prospek tetapi menaikkan TP kepada RM3.75 daripada RM3.58, selepas mengambil kira kontrak baharu bernilai RM37.82 juta itu dalam unjuran kewangan kumpulan.

 

"Kami menganggarkan kontrak ini dapat menyumbang sekitar RM3.78 juta atau 1.5% kepada PAT tahun kewangan 2026, selain meningkatkan kontrak baharu syarikat bagi 2026 kepada kira-kira RM3.3 bilion, mengatasi sasaran asal RM2 bilion," tambahnya.

 

Menurutnya, pembangunan berkenaan merangkumi sebuah blok perumahan mampu milik setinggi 38 tingkat dengan 922 unit, kawasan kemudahan dan tempat letak kereta serta pencawang utama pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan kerja dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

 

Apex Securities turut menaikkan unjuran pendapatan Kerjaya Prospek bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 1.5%, 4.7% dan 8.7%, kepada RM254.4 juta, RM314.3 juta dan RM257.8 juta, disokong pengisian semula buku tempahan serta pertumbuhan projek DC, perindustrian dan infrastruktur.

 

Bagaimanapun firma itu berkata, bahagian bermakna buku tempahan masih datang daripada pihak berkaitan, walaupun kumpulan sedang mempelbagaikan sumber kontrak kepada pelanggan pihak ketiga.

 

Justeru, dengan buku tempahan RM5.9 bilion dan peluang banyak projek yang semakin berkembang, Apex Securities menjangkakan keterlihatan pendapatan kekal kukuh bagi tempoh akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved