Hextar Global perluas perniagaan ceburi bidang hartanah, projek RM3.8 bilion di Shah Alam usaha sama pertama

14 Aug 2026 • 5:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hextar Global perluas perniagaan ceburi bidang hartanah, projek RM3.8 bilion di Shah Alam usaha sama pertama Image from: Hextar Global perluas perniagaan ceburi bidang hartanah, projek RM3.8 bilion di Shah Alam usaha sama pertama hamden14/08/2026 - 17:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Hextar Global Bhd peneraju dalam industri agrokimia telah mengemukankan cadangan untuk mempelbagaikan perniagaannya ke sektor pembangunan hartanah, pembinaan, pelaburan dan pengurusan hartanah menerusi usaha sama bagi membangunkan projek bercampur di Siera Alam, Shah Alam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM3.8 bilion.

 

Cadangan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Hextar Landmark Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan Kotaputeri Development Sdn Bhd (KDSB) pada 14 Ogos 2026 bagi membangunkan tanah seluas kira-kira 240.39 ekar di Seksyen U10, Shah Alam.

 

Hextar Global dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pelbagaian itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan kelak.

 

Kumpulan menjangkakan segmen baharu tersebut berpotensi menyumbang 25% atau lebih daripada keuntungan bersih kumpulan dan/atau melibatkan 25% atau lebih daripada aset bersihnya pada masa hadapan.

 

Bagaimanapun, Hextar Global menegaskan aktiviti perniagaan sedia ada, termasuk bahan kimia khusus, pertanian dan perdagangan buah-buahan, akan terus menjadi perniagaan teras kumpulan.

 

Projek Siera Alam RM2.8 bilion

Projek pembangunan bercampur itu akan dilaksanakan menerusi Hextar Siera Sdn Bhd (Hextar Siera), sebuah syarikat usaha sama yang dimiliki 70% oleh Hextar Landmark dan 30% oleh KDSB.

 

Hextar Landmark pula dimiliki 70% oleh Halex Realty Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh Hextar Global, manakala baki 30% dimiliki Cekap Sekata Sdn Bhd.

 

Struktur tersebut memberikan Hextar Global kepentingan ekuiti efektif tidak langsung sebanyak 49% dalam Hextar Siera.

 

Berdasarkan pelan pembangunan awal, jumlah kos yang diperlukan untuk memperoleh tanah dan melaksanakan pembangunan itu dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion, termasuk harga pembelian tanah RM270 juta.

 

Kos berkenaan dijangka dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan/atau kemudahan kredit yang diperoleh Hextar Siera serta sumbangan pembiayaan daripada pihak usaha sama.

 

Pembangunan 10 tahun, fokus kediaman dan komersial

Projek tersebut dicadangkan sebagai pembangunan bercampur bersepadu yang merangkumi rumah teres, vila berkembar, vila dan komponen komersial, selain komponen kediaman bertingkat tinggi, komersial serta gaya hidup terpilih.

 

Campuran produk itu disasarkan kepada pelbagai segmen pasaran, khususnya pembeli kelas pertengahan hingga pertengahan atas yang ingin menaik taraf kediaman.

 

Antara ciri yang diberi penekanan ialah reka bentuk kediaman, persekitaran hijau, keselamatan, kemudahan berorientasikan kesejahteraan dan kemudahan gaya hidup.

 

Pembangunan dijangka dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun, atau tempoh tambahan yang dipersetujui bersama.

 

Menurut Hextar Global, pendekatan berfasa itu membolehkan Hextar Siera menyesuaikan masa pelaksanaan, skala dan campuran produk mengikut keadaan pasaran serta permintaan semasa.

 

Tanah pembangunan itu terletak berhampiran kawasan perbandaran seperti Setia Alam, Alam Nusantara, Alam Budiman dan Puncak Perdana, selain mempunyai akses kepada rangkaian jalan raya termasuk Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

 

Ia juga berhampiran kemudahan seperti Setia City Mall, Setia City Convention Centre dan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana.

 

Lembaga Pengarah Hextar Global berpandangan lokasi, aksesibiliti, infrastruktur, kemudahan serta kawasan tadahan penduduk yang kukuh memberi prospek pembangunan yang menggalakkan kepada projek tersebut.

 

Dijangka jana pulangan positif

Hextar Global menjangkakan pembangunan berkenaan menghasilkan pulangan positif sepanjang tempoh pembangunan 10 tahun.

 

Sumbangan keuntungan kepada kumpulan dijangka terhasil apabila hasil dan keuntungan daripada jualan hartanah mula diiktiraf, dengan masa pengiktirafan bergantung antara lain kepada kelulusan kawal selia, permulaan dan kemajuan pembangunan serta prestasi jualan.

 

Pulangan kepada Hextar Global dijangka datang terutamanya daripada keuntungan yang boleh dikaitkan dengan kepentingan efektif tidak langsung 49% dalam Hextar Siera, selain sebarang pengagihan yang dibuat oleh syarikat usaha sama.

 

Bagaimanapun, GDV dan kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM3.8 bilion dan RM2.8 bilion itu masih merupakan anggaran awal dan tertakluk kepada semakan selepas pelan pembangunan terperinci dimuktamadkan.

 

Antara faktor yang boleh mempengaruhi anggaran tersebut termasuk kelulusan berkaitan, campuran dan spesifikasi produk akhir, harga jualan, kos pembinaan serta pembiayaan, tempoh pembangunan dan keadaan pasaran hartanah.

 

Hextar Global berkata cadangan pelbagaian ini bertujuan mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada kumpulan, di samping meningkatkan nilai pemegang saham dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved