hamden22/09/2026 - 10:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept - Kontrak terbesar pernah diperoleh Powerwell Holdings Bhd bernilai RM190.4 juta dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan syarikat bagi FY27F hingga FY28F, menurut Public Investment Bank (PublicInvest)
Firma penyelidikan itu berkata keadaan itu disokong peningkatan buku tempahan serta permintaan berterusan terhadap peralatan pengagihan kuasa untuk projek pusat data.
Kontrak yang merangkumi dua pesanan pembelian daripada pelanggan multinasional sedia ada itu bukan sahaja meningkatkan keterlihatan pendapatan Powerwell malah mengukuhkan kedudukan syarikat dalam rantaian bekalan infrastruktur kuasa pusat data.
“Kontrak terbaharu ini secara positif terus mengukuhkan kedudukan Powerwell dalam segmen peralatan pengagihan kuasa berkaitan pusat data.
“Anugerah daripada pelanggan multinasional yang pernah bekerjasama dengan Powerwell turut mengukuhkan rekod pelaksanaan syarikat serta keupayaannya mendapatkan perniagaan berulang dalam segmen pusat data,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Powerwell raih pesanan RM190.4 juta bagi projek pusat data Johor
Kontrak tersebut melibatkan pembekalan dan penghantaran papan suis voltan rendah serta peralatan berkaitan untuk projek pusat data di Johor, dengan penghantaran dijadualkan sepanjang FY27F hingga FY28F dan projek disasarkan siap pada suku keempat FY28.
Pengisian buku tempahan hampiri sasaran
Kemenangan kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah kemenangan kontrak utama Powerwell bagi tahun ini setakat ini sebanyak RM349.2 juta, mewakili 91.9% daripada andaian pengisian semula buku tempahan sebanyak RM380 juta.
Dengan hanya RM30.8 juta lagi diperlukan untuk mencapai andaian tersebut, firma penyelidikan itu berkata risiko berkaitan pengisian semula buku tempahan Powerwell kini sebahagian besarnya telah dikurangkan.
Keadaan itu, katanya, meningkatkan keterlihatan pendapatan syarikat bagi FY27F hingga FY28F, manakala buku tempahan belum dibilkan yang melonjak kepada paras tertinggi sekitar RM459.3 juta menyediakan asas kukuh untuk mengekalkan tahap hasil yang lebih tinggi.
Jumlah buku tempahan berkenaan bersamaan 2.9 kali ganda hasil FY26, meningkat daripada 1.7 kali ganda berdasarkan buku pesanan RM268.9 juta pada akhir Jun 2026.
PublicInvest berkata, buku tempahan yang lebih besar itu menyediakan liputan pendapatan yang lebih kukuh, manakala kemenangan kontrak tambahan selepas ini berpotensi memberikan peningkatan kepada unjuran semasa.
Pengembangan kapasiti
Pada masa sama, pengembangan kapasiti pembuatan Powerwell dilihat tepat pada masanya bagi menyokong pelaksanaan kontrak yang semakin meningkat.
Kapasiti pengeluaran dalaman yang lebih besar dijangka mengurangkan kebergantungan syarikat kepada penyumberan luar serta meningkatkan leveraj operasi apabila kadar penggunaan kapasiti meningkat mulai FY28F.
Dari segi unjuran, PublicInvest mengekalkan ramalan sedia ada kerana kontrak terbaharu itu telah diambil kira dalam andaian pengisian semula buku tempahan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menaik taraf Powerwell kepada BELI dengan harga sasaran RM1.41, berbanding cadangan sebelumnya.
PublicInvest turut menaikkan gandaan P/E sasaran kepada 20 kali daripada 17 kali, yang dikenakan terhadap EPS pertengahan FY28F sebanyak 7.07 sen, bagi menghasilkan sasaran harga RM1.41.
Menurut firma itu, gandaan lebih tinggi tersebut mencerminkan keterlihatan pendapatan yang bertambah baik, risiko pengisian semula buku pesanan yang lebih rendah serta pendedahan Powerwell yang semakin kukuh kepada infrastruktur kuasa pusat data. - DagangNews.com






