
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (2 September), kecoh di media sosial mengenai drama Madu Atau Racun lakonan Alif Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha.
MIG Mohon Maaf, Ambil Maklum Isu Tular Drama Terbitannya
Ekoran kontroversi yang melanda, syarikat penerbitan, Metrowealth (MIG) memohon maaf susulan isu melibatkan drama terbitan produksinya itu yang didakwa menyentuh isu LGBTQ.
Permohonan maaf itu dibuat oleh MIG dalam satu hantaran di Instagram petang semalam (2 September).
Jelas MIG dalam kenyataan tersebut, pihaknya mengambil maklum isu yang sedang hangat diperkatakan melibatkan babak dalam drama tersebut yang dilihat keterlaluan untuk tontonan umum.
“Kepada seluruh penonton, peminat dan semua pihak yang memberikan sokongan terhadap drama Madu atau Racun.
“Kami mengambil maklum terhadap isu yang sedang tular dan sudah menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat dengan babak yang dilihat agak keterlaluan untuk ditonton secara umum,” katanya.
MIG Tegas Tiada Niat Sentuh Atau Sengaja Cetus Kontroversi
Tegas MIG, pihaknya tidak pernah berniat untuk menyentuh, memperlekeh atau dengan sengaja menimbulkan sebarang kontroversi.
“Kami memohon maaf dan menghormati pandangan semua pihak dan akan memperbaiki karya kami yang akan datang dan seterusnya mengambil teguran ini sebagai satu pengajaran yang besar,” jelas mereka lagi.
View this post on Instagram
iQIYI Setuju Turun Sementara 6 Episod & Baki 6 Episod Lagi Ditangguhkan
Dalam pada itu, platform penstriman, iQIYI bersetuju untuk menurunkan sementara enam episod drama tersebut yang telah disiarkan manakala, baki enam episod lagi akan ditangguhkan.
Langkah itu bagi membolehkan kesemua 12 episod drama terbabit disunting dan dinilai semula.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan bersama iQIYI serta syarikat produksi atas arahan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
iQIYI & Penerbit Mohon Maaf, Terima Teguran Dari Pelbagai Pihak
Tambah Azmir Saifuddin, iQIYI serta penerbit drama tersebut turut memohon maaf selain turut menerima teguran dan pandangan Finas serta panel penilai untuk menambah baik drama tersebut.
“Pihak iQIYI dan penerbit bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini serta bersetuju menurunkan sementara episod yang telah dimuat naik,” katanya yang dipetik dari FMT.
Suntingan Drama Akan Dibuat Mengikut Garis Panduan LPF & CMCF Sebelum Dinilai Semula
Jelasnya, suntingan drama berkenaan akan dibuat mengikut garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi kandungan penstriman OTT (over-the-top) sebelum kesemua 12 episod drama terbabit dinilai semula.
Namun, tiada tempoh khusus yang ditetapkan bagi drama tersebut untuk dimuat naik semula.
Ini kerana jelas Azmir Saifuddin, ia bergantung kepada pihak produksi serta iQIYI mengemukakan versi baharu untuk dinilai.
“Selepas panel berpuas hati dengan versi yang dipaparkan, barulah ia dibenarkan untuk tontonan umum,” ujarnya.
iQIYI Fahami Garis Panduan LPF, Sedia Betulkan Keadaan
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam menjelaskan, pihaknya memahami garis panduan LPF dan sedia bekerjasama untuk memperbetulkan keadaan.
“Cerita ini tiada kaitan dengan aktiviti songsang, ia membawa mesej mengenai tanggungjawab suami apabila berkahwin dua dan peranan isteri-isterinya.
“Banyak pengajaran yang boleh diambil menerusinya. Cuma apabila klip-klip yang ditayangkan disalah tafsir, ia bertukar menjadi isu sensasi.
“Bagaimanapun, kami sedia ambil langkah sewajarnya, melakukan perubahan dengan menyunting mana-mana babak yang tidak sesuai untuk tontonan umum dan meneliti enam episod awal yang sudah ditayangkan,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Terdahulu, drama bersiri 12 episod terbitan MIG dan arahan Eyra Rahman itu mendapat perhatian termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan apabila terdapat beberapa babak yang didakwa menjurus kepada aktiviti songsang atau LGBTQ melibatkan Uqasha dan Elisya.
Pendakwah, Ustaz Wadi Annuar turut memuat naik satu hantaran meminta orang industri berhenti menayangkan drama yang menormalisasikan hubungan songsang.
“Jangan racuni pemikiran generasi akan datang sehingga perkara yang Allah larang dianggap biasa,” tulisnya.
Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai yang mengaitkan hantaran tersebut dengan kontroversi drama Madu atau Racun.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Tolak Tayangan Drama ‘Madu Atau Racun’, JAKIM Akan Semak & Ambil Tindakan Susulan – Menteri Agama
Baca Artikel Berkaitan: Drama Madu Atau Racun: Kerajaan Tidak Kompromi Dengan Drama & Filem Sentuh Sensitiviti Agama Serta Kaum – Fahmi Fadzil






