Kontroversi menu tidak jejas kunjungan pelanggan Oriental Kopi, perkenal tiga bahasa mulai November 2026 – CGSI

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 10:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontroversi menu tidak jejas kunjungan pelanggan Oriental Kopi, perkenal tiga bahasa mulai November 2026 – CGSI Image from: Kontroversi menu tidak jejas kunjungan pelanggan Oriental Kopi, perkenal tiga bahasa mulai November 2026 – CGSI liza04/11/2026 - 10:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Kontroversi berkaitan penggunaan bahasa pada menu Oriental Kopi Holdings Berhad pada Oktober lalu tidak menjejaskan jumlah kunjungan pelanggan ke rangkaian restoran itu dengan pengurusan kumpulan sudah memperkenalkan menu baharu dalam tiga bahasa bagi menyelesaikan isu berkenaan.

 

CGS International (CGSI) berkata, pihak pengurusan memaklumkan tiada perubahan ketara dari segi jumlah kunjungan atau komposisi pelanggan susulan kontroversi itu.

 

“Menu baharu berkenaan mula digunakan pada November 2026 dengan kos mencetak semula dianggarkan sekitar RM150,000. Pelaksanaannya di semua cawangan dijangka selesai menjelang akhir bulan ini.

 

“Malah, tiga cawangan yang baru dibuka iaitu Sunway 163, Aman Central dan Merdeka 118, menerima sambutan menggalakkan dengan barisan pelanggan yang panjang,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Pembukaan lebih banyak cawangan kekal mengikut jadual

Firma itu berkata rancangan membuka lebih banyak cawangan Oriental Kopi kekal mengikut jadual, dengan kumpulan itu menyasarkan 40 hingga 41 cawangan di Malaysia menjelang akhir 2026 berbanding 34 cawangan setakat Julai lalu.

 

Kumpulan itu menyasarkan pembukaan antara lapan hingga 10 cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh sederhana, disokong enam lokasi pusat beli-belah yang sudah diperoleh bagi pengembangan seterusnya.

 

CGSI turut menjangkakan rangkaian cawangan Oriental Kopi meningkat kepada 51 menjelang 2028 berdasarkan unjuran pembukaan cawangan baharu secara berperingkat.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Oriental Kopi kini mula memasuki pusat beli-belah kategori kedua selepas memperoleh kebanyakan lokasi yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi.

 

“Langkah itu dijangka membantu kumpulan mengawal kos sewaan, manakala tempoh mendapatkan semula modal bagi setiap cawangan dianggarkan sekitar 10 hingga 12 bulan,” katanya.

 

Pasaran luar negara jadi satu lagi pemacu pertumbuhan

Selain pengembangan domestik, Oriental Kopi turut merancang memperluas operasinya ke pasaran antarabangsa, bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Indonesia menjelang akhir November atau awal Disember 2026 diikuti Mauritius pada suku pertama 2027, manakala dua cawangan turut dirancang di Singapura sepanjang 2027.

 

CGSI berpandangan risiko pelaksanaan pengembangan luar negara masih terkawal berikutan pendekatan pembukaan cawangan secara berperingkat serta kemungkinan penggunaan rakan kongsi tempatan menerusi usaha sama atau model francais.

 

Keuntungan FY2027 diunjur meningkat kepada RM91 juta

Dari segi kewangan, CGSI mengekalkan unjuran keuntungan bersih Oriental Kopi sebanyak RM67.4 juta bagi tahun kewangan berakhir September 2026 (FY2026), sebelum meningkat kepada RM91 juta pada FY2027 dan RM126.9 juta pada FY2028.

 

Bagi suku keempat FY2026, firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih teras sebanyak RM22 juta, meningkat 50% tahun ke tahun dan 29.4% suku ke suku.

 

Unjuran itu disokong sumbangan daripada cawangan baharu serta margin keuntungan kasar yang dijangka semakin stabil, didorong harga bahan mentah yang kekal terkawal.

 

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap saham Oriental Kopi dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.37, berbanding harga saham RM0.835 ketika ini.

 

Bagaimanapun, firma itu menyenaraikan beberapa risiko termasuk persaingan sengit dalam industri makanan dan minuman, peningkatan kos pekerja susulan kenaikan gaji minimum serta kos sebelum pembukaan cawangan baharu yang tinggi pada suku pertama FY2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved