liza30/10/2026 - 11:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt – MyDCD Berhad dilihat terlalu bergantung kepada Binastra Builders Sdn Bhd yang menyumbang 85.4% atau RM568.5 juta daripada keseluruhan hasil syarikat pada FY2026, sekali gus mendedahkannya kepada risiko sekiranya pelanggan utama itu mengurangkan atau menamatkan kontrak, kata Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, Binastra Builders, anak syarikat Binastra Corporation Berhad turut menyumbang RM822.3 juta atau 62% daripada keseluruhan buku tempahan tertunggak MyDCD bernilai RM1.32 bilion setakat 30 September 2026.
Malah, lima pelanggan terbesar MyDCD menyumbang 98.1% daripada hasil FY2026, menunjukkan pendapatan syarikat itu banyak tertumpu kepada pelanggan yang terhad.
Firma penyelidikan itu memberi amaran sebarang pengurangan, penggantungan atau penamatan kontrak oleh kontraktor utama berkenaan boleh memberi kesan ketara terhadap pendapatan MyDCD.
MyDCD merupakan syarikat pengkhususan integrasi sistem MEPF untuk pusat data, merangkumi kerja kejuruteraan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan serta perkhidmatan penyelenggaraan. Syarikat itu dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 November 2026.
Buku tempahan RM1.32 bilion
Bagaimanapun, MyDCD mempunyai keterlihatan pendapatan melalui buku tempahan tertunggak RM1.32 bilion, bersamaan dua kali ganda hasil FY2026.
Daripada jumlah itu, RM1.27 bilion merangkumi kerja integrasi sistem mekanikal, elektrikal, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF) untuk pusat data, manakala RM53.1 juta lagi daripada kontrak penyelenggaraan.
Malacca Securities menjangkakan RM515.4 juta daripada buku tempahan itu diiktiraf sebagai hasil sepanjang baki FY2027, diikuti RM782.1 juta pada FY2028. Baki RM22.1 juta daripada kontrak penyelenggaraan pula akan dilaksanakan sehingga FY2032.
Namun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan bahawa kegagalan memperoleh kontrak baharu pada kadar mencukupi selepas FY2028 boleh menyebabkan penurunan ketara dalam pendapatan.
ARTIKEL BERKAITAN: MyDCD sasar raih RM268.8 juta menerusi IPO 56 sen sesaham di Pasaran ACE
Keuntungan dijangka meningkat
Dari segi prestasi kewangan, hasil MyDCD meningkat 79.1% kepada RM666 juta pada FY2026 berbanding RM372 juta pada FY2025. Keuntungan selepas cukai pula meningkat 69.2% kepada RM66.8 juta daripada RM39.5 juta sebelumnya, didorong pertumbuhan segmen integrasi MEPF pusat data.
Malacca Securities mengunjurkan keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM81.2 juta pada FY2027, RM106.5 juta pada FY2028 dan RM120.4 juta pada FY2029.
Unjuran itu mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan sebanyak 21.7% bagi tempoh tiga tahun, disokong pengiktirafan buku tempahan sedia ada, peningkatan kapasiti mengambil projek lebih besar serta pertambahan kontrak penyelenggaraan.
Modal IPO untuk projek lebih besar
Sementara itu, MyDCD dijangka mengumpul RM187.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), dengan RM134 juta atau 71.4% diperuntukkan untuk modal kerja.
Malacca Securities berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi membiayai keperluan bon pelaksanaan untuk tender lebih besar serta pembayaran kepada subkontraktor.
Langkah itu dijangka meningkatkan keupayaan MyDCD membida lebih banyak projek pusat data secara serentak tanpa memberi tekanan berlebihan kepada kedudukan kewangannya.
Sasaran nilai saksama RM1.07 sesaham
Dalam penilaian IPO itu, Malacca Securities menetapkan nilai saksama MyDCD pada RM1.07 sesaham, iaitu 91.1% lebih tinggi berbanding harga IPO 56 sen sesaham.
Penilaian berkenaan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 20.5 kali, berpandukan anggaran pendapatan sesaham FY2028 sebanyak 5.23 sen. - DagangNews.com






