
SEPANG: Seorang wanita warga China ditahan selepas mencetuskan kekecohan termasuk bertindak agresif dengan menjerit, berlari, menyanyi dan menari di kawasan Balai Perlepasan Antarabangsa Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, siasatan awal mendapati, wanita berusia 27 tahun itu disyaki kurang siuman dan bukan di bawah pengaruh dadah.
Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada rakan suspek mendapati wanita terbabit dipercayai terlupa mengambil ubat sebelum kejadian berlaku.
“Suspek kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kajang selepas ditempatkan di Wad Psikiatrik untuk pemantauan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.19 petang semalam ketika suspek sedang menunggu penerbangan pulang ke China selepas melancong di Malaysia bersama rakannya sejak 6 Ogos lalu.
Ravi berkata, pihak keselamatan terminal yang menerima aduan segera ke lokasi bagi mengawal keadaan sebelum membawa wanita terbabit ke Balai Polis Terminal 1 KLIA untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga China yang dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke negara asalnya pada hari kejadian,” katanya.
Katanya, pihak Kedutaan China telah dimaklumkan berhubung insiden berkenaan bagi membantu urusan selanjutnya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan serta tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kegusaran awam khususnya di kawasan lapangan terbang. – UTUSAN
The post Wanita warga China cetus kecoh di KLIA disyaki kurang siuman appeared first on Utusan Malaysia.





