Kos bahan mentah kembali naik pada Ogos 2026 gugat margin sektor pengguna – MBSB Research

Business & Finance
9 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos bahan mentah kembali naik pada Ogos 2026 gugat margin sektor pengguna – MBSB Research Image from: Kos bahan mentah kembali naik pada Ogos 2026 gugat margin sektor pengguna – MBSB Research amree09/09/2026 - 09:40 Foto DagangNews.com / Mohd Naim Firdaus Aziz Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept — Kenaikan semula kos bahan mentah utama pada Ogos 2026 memberi isyarat tekanan margin lebih mencabar kepada saham dalam sektor pengguna, menurut analisis MBSB Research.

 

Situasi itu ujarnya, menggugat pengeluar makanan dan minuman (F&B), pemain air minuman dalam botol serta pengeluar ayam dan telur jika kenaikan kos tidak dapat dipindah sepenuhnya kepada pengguna.

 

Kos kebanyakan input utama F&B kembali meningkat secara bulanan, dengan harga gandum melonjak 29.5% tahun ke tahun (YoY), gula mentah pula 4% YoY, selain minyak sawit mentah (MSM) naik 13.5% YoY.

 

"Tekanan turut ketara pada bahan pembungkusan apabila harga resin naik 35% yang boleh terus menekan margin pemain air minuman dalam botol seperti Life Water dan Spritzer," kata MBSB Research lagi.

 

Sementara kenaikan MSM jelas firma tersebut, berpotensi meningkatkan kos input berasaskan sawit bagi pengeluar seperti Hup Seng, manakala bagi komoditi kopi dan koko, gambaran lebih bercampur.

 

Harga koko meningkat 7.1% bulan ke bulan (MoM), dan kopi Arabica naik 3.6% MoM, namun kopi Robusta pula susut 2.8% MoM, menunjukkan tekanan ke atas dua komoditi itu tidak berlaku secara menyeluruh.

 

Tambah MBSB Research, dalam segmen ternakan, harga telur dan ayam didapati mula pulih sejak Julai 2026, dan kenaikan itu memberi sokongan kepada harga jualan purata (ASP) para pengeluar terbabit.

 

sektor pengguna_DagangNews2026

 

"Peningkatan kos dedak namun kembali menjadi risiko kepada margin pengeluar secara bersepadu dengan isu itu menjadi perhatian khusus Leong Hup dan QL Resources jika tidak dapat diserap," katanya.

 

Dari sudut mata wang, ringgit kekal lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan masih memberi sedikit perlindungan terhadap kos komoditi dan bahan mentah yang diimport dalam dolar AS.

 

Bagaimanapun ujar MBSB Research, ringgit kekal lemah berbanding yuan China, yang menjadikan kos pembungkusan dan pengangkutan sebagai faktor besar kepada margin, terutama peruncit seperti MR DIY.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor pengguna, tetapi menyarankan pendekatan yang lebih selektif dan menjangkakan penggunaan domestik kekal disokong beberapa faktor.

 

"Antaranya keadaan kadar pekerjaan yang stabil, inflasi teras terkawal, bantuan fiskal kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta kecenderungan pengguna mencari nilai produk," jelasnya.

 

Dalam keadaan kos input mencabar, MBSB Research mengutamakan segmen barangan keperluan, produk asas dan peruncit berorientasi nilai yang dapat menetapkan harga, skala operasi serta memindahkan kos.

 

Justeru, antara pilihan utama firma itu ialah 99 Speedmart dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM4.37), MR DIY (beli, RM2.13), Leong Hup (beli, RM1.03) dan Nestle Malaysia (beli, RM116.10).

 

Ia turut melihat potensi pemulihan bagi kaunter bermodal lebih tinggi seperti Aeon, Padini dan beberapa pemain F&B sekiranya keyakinan pengguna bertambah baik. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved