Kos bahan mentah naik jejas keuntungan segmen makanan ternakan Leong Hup, menurut MBSB Research

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 10:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos bahan mentah naik jejas keuntungan segmen makanan ternakan Leong Hup, menurut MBSB Research Image from: Kos bahan mentah naik jejas keuntungan segmen makanan ternakan Leong Hup, menurut MBSB Research hamden23/11/2026 - 10:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov- Peningkatan kos bahan mentah terus memberi tekanan kepada margin perniagaan kilang makanan ternakan Leong Hup International Bhd meskipun segmen itu mencatatkan pertumbuhan hasil kukuh sebanyak 17.3% kepada RM985.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26).

 

MBSB Research berkata, keadaan itu menyebabkan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) segmen berkenaan merosot 15.9% tahun ke tahun kepada RM114.6 juta, berbanding prestasi lebih baik yang dicatatkan perniagaan ternakan dan ayam kumpulan.

 

Margin EBITDA kilang makanan ternakan turut menyusut kepada 11.6% berbanding 16.2% pada tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan kos input masih menjadi cabaran utama meskipun pertumbuhan hasil disokong harga dan jumlah jualan lebih tinggi.

 

Menurut analisis MBSB Research, pertumbuhan keuntungan Leong Hup dalam tempoh terdekat dijangka lebih banyak bergantung kepada segmen ternakan dan ayam, manakala pemulihan keuntungan perniagaan makanan ternakan memerlukan persekitaran kos bahan mentah yang lebih menggalakkan.

 

Dalam perkembangan sama, segmen ternakan dan ayam menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan apabila EBITDA meningkat 20.1% tahun ke tahun kepada RM204.8 juta pada 3QFY26.

 

Margin segmen itu bertambah baik kepada 13.9% berbanding 12.5% setahun sebelumnya, disokong pengukuhan margin di pasaran utama kumpulan.

 

Prestasi lebih baik kedua-dua segmen itu menyumbang kepada peningkatan EBITDA kumpulan sebanyak 4% tahun ke tahun dan 27.8% suku ke suku kepada RM319.3 juta.

 

Harga jualan ayam naik bantu kenaikan keuntungan

Secara keseluruhan, hasil Leong Hup meningkat 11.3% tahun ke tahun dan 11.4% suku ke suku kepada RM2.46 bilion pada 3QFY26.

 

Hasil segmen ternakan dan ayam meningkat 7.6% tahun ke tahun kepada RM1.47 bilion, disokong harga serta jumlah jualan anak ayam pedaging sehari (DOC) yang lebih tinggi dan harga ayam pedaging lebih kukuh di Malaysia.

 

Peningkatan harga dan jumlah jualan ayam di beberapa pasaran serantau turut menyumbang kepada pertumbuhan segmen berkenaan.

 

Dari segi keuntungan, Leong Hup merekodkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan bukan pengawal (PATANCI) sebanyak RM128.2 juta pada 3QFY26, susut 0.9% tahun ke tahun tetapi meningkat 29.1% berbanding suku sebelumnya.

 

Keuntungan operasi kumpulan meningkat 4.2% tahun ke tahun kepada RM239.1 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berkembang 1.4% kepada RM208.5 juta.

 

Bagaimanapun, peningkatan prestasi operasi sebahagiannya diimbangi kos pembiayaan dan cukai lebih tinggi.

 

MBSB Research mengekalkan unjuran keuntungan Leong Hup tanpa perubahan dan saranan BELI, tetapi menyemak turun harga sasaran kepada RM1.01 daripada RM1.03 sebelum ini.

 

Harga sasaran baharu itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 7.3 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 13.84 sen selepas penilaian dikemas kini kepada tahun kewangan 2027. Tiada dividen diisytiharkan bagi 3QFY26. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved