
PETALING JAYA: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) mendedahkan perbezaan yang amat ketara apabila projek mega itu di Sabah hanya mampu menyiapkan 11.4 peratus pakej kerja selepas lebih 10 tahun.
Ini berbeza apabila dibandingkan dengan LPB Sarawak yang kini berada di ambang penyempurnaan penuh.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, LPB Sabah Fasa 1 yang dirancang sejak 2015 meliputi 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer masih belum disiapkan selepas lebih 10 tahun.
Sehingga 31 Mac lalu, beliau berkata hanya empat pakej kerja atau 11.4 peratus dengan jumlah kos asal RM0.567 bilion telah disiapkan.
“Manakala baki 31 pakej kerja atau 88.6 peratus bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan.
“Daripada 31 projek dalam pelaksanaan, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej kerja lewat jadual serta sembilan pakej kerja mendahului jadual,” katanya menerusi kenyataan media Laporan Ketua Audit Negara 2/20226.
Beliau berkata, atara isu pengurusan projek yang dikenal pasti sebagai ketakteraturan serius ialah kelulusan Arahan Perubahan Kerja (APK) melebihi had kuasa berjumlah RM513.99 juta dan kelewatan tuntutan kos utiliti bagi projek siap berjumlah RM41.37 juta.
Mengenai projek LPB Sarawak, Wan Suraya berkata, sebanyak 10 pakej kerja telah berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 31 Mac lalu.
Katanya, satu pakej kerja iaitu WP11 pula berada pada tahap 99.9 peratus.
“Pencapaian objektif projek LPB Sarawak belum dapat dinilai memandangkan projek belum siap sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, pengauditan mendapati kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus kontrak yang kurang cekap.
“Antaranya tuntutan pengalihan dan pemasangan semula utiliti belum dilaksanakan berjumlah RM1.780 bilion.
“Dan bayaran berjumlah RM32.07 juta telah dibuat bagi Sistem Maklumat Projek namun sistem tidak dapat diakses selepas tamat tempoh perjanjian,” katanya. – UTUSAN
The post Projek Pan Borneo di Sabah siap 11.4% selepas 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.






