liza03/11/2026 - 09:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Tekanan kos yang berterusan, sentimen pengguna yang berhati-hati serta ketiadaan pemangkin pertumbuhan ketara dijangka terus membataskan prestasi sektor hartanah dalam tempoh terdekat, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, meskipun permintaan hartanah masih menunjukkan kestabilan, persekitaran kos yang lebih tinggi boleh menjejaskan kemampuan pembeli memiliki rumah yang seterusnya mempengaruhi momentum jualan pemaju.
“Selain itu, ketegangan geopolitik di Timur Tengah, kenaikan harga minyak serta peningkatan hasil bon turut menjejaskan sentimen pelabur terhadap sektor berkenaan.
“Prestasi kewangan pemaju hartanah juga dijangka kekal bercampur-campur berikutan tekanan margin keuntungan dan cabaran operasi, selain tiada pemangkin keuntungan yang ketara dalam tempoh terdekat,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Prospek keuntungan masih bercampur
Firma itu tidak menjangkakan kejutan besar dalam keputusan kewangan suku ketiga 2026, susulan prestasi bercampur-campur yang dicatatkan syarikat hartanah pada suku kedua 2026.
Menurutnya, keuntungan lebih tinggi yang dilaporkan sesetengah syarikat sebelum ini sebahagian besarnya disumbangkan keuntungan luar biasa seperti pelupusan tanah, manakala syarikat lain berdepan tekanan margin dan cabaran operasi.
“Kami tidak melihat trend pertumbuhan keuntungan yang menyeluruh berdasarkan operasi teras perniagaan pemaju hartanah, dengan tekanan kos dijangka kekal tinggi dan sentimen pembeli terus dipengaruhi persekitaran perbelanjaan yang meningkat.
“Bagaimanapun, pemaju yang mempunyai penawaran produk menarik serta projek di lokasi strategik dijangka terus menikmati permintaan yang memuaskan, meskipun pertumbuhan keuntungan sektor dijangka lebih terpilih dan bukannya menyeluruh,” katanya.
Permohonan pinjaman kembali meningkat
Dalam perkembangan lain, permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah kembali meningkat 12.6% tahun ke tahun pada September 2026 selepas mencatatkan penurunan 4% pada Ogos.
Secara bulanan, permohonan pinjaman meningkat 6% pada September selepas merosot 7.2% pada bulan sebelumnya, sekali gus memberikan petunjuk awal bahawa permintaan hartanah mungkin mula stabil selepas kelemahan pada Ogos.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, jumlah permohonan pinjaman hartanah meningkat 2.6% tahun ke tahun kepada RM502.7 bilion, menunjukkan sentimen pembelian secara keseluruhan masih relatif stabil walaupun pengguna berdepan persekitaran kos lebih tinggi.
Kelulusan pinjaman turut mencatatkan peningkatan 7.2% tahun ke tahun pada September 2026 selepas merosot 13.3% pada Ogos, manakala secara bulanan jumlah pinjaman diluluskan meningkat 7%.
Bagaimanapun, jumlah kelulusan pinjaman terkumpul masih rendah 0.6% tahun ke tahun kepada RM211.2 bilion, mencerminkan cabaran yang mungkin terus dihadapi pemaju dalam persekitaran jualan hartanah.
Matrix Concepts dan Mah Sing kekal pilihan utama
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor hartanah berikutan ketiadaan pemangkin jangka pendek yang ketara serta sikap berhati-hati pengguna dalam persekitaran kos lebih tinggi.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan Matrix Concepts Holdings sebagai pilihan utama dengan saranan BELI dan harga sasaran RM1.33, disokong peluasan bank tanah di Johor yang meningkatkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu di luar Negeri Sembilan. Matrix Concepts turut menawarkan hasil dividen sebanyak 7.2%, yang disifatkan menarik oleh firma penyelidikan berkenaan.
Mah Sing Group turut menjadi pilihan utama dengan saranan BELI dan harga sasaran RM1.15, disokong prospek keuntungan yang positif hasil kemajuan tuntutan bayaran projek pembangunan M Series serta pengembangan kehadirannya dalam segmen hartanah perindustrian. - DagangNews.com





