amree09/09/2026 - 14:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Scientex Berhad terus berdepan ketidaktentuan pasaran susulan ketegangan geopolitik, turun naik harga tenaga dan bahan mentah serta gangguan rantaian bekalan dan logistik, khususnya dalam perniagaan pembungkusan bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, selain isu harga bahan mentah tidak kukuh, syarikat berkenaan turut berdepan dengan masalah permintaan pasaran yang tidak menentu dan menjejaskan kestabilan kewangan perniagaannya secara keseluruhan
Divisyen pembungkusan namun mencatatkan hasil RM2.61 bilion bagi FY26, meningkat 5.1%, dengan keuntungan operasi melonjak 71.9% kepada RM257.42 juta daripada RM149.8 juta, didorong margin lebih baik, campuran produk yang menggalakkan dan kecekapan operasi.
"Segmen ini masih terdedah kepada perubahan harga bahan mentah, dan situasi pasaran global. Bagi 4QFY26, hasil pembungkusan naik 18.4% kepada RM725.3 juta, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM87.5 juta berikutan lonjakan harga jualan," kata Scientex .
Sementara itu, divisyen hartanah terus menjadi penyumbang utama keuntungan kumpulan apabila hasil bertambah 8.3% kepada RM2.20 bilion, manakala keuntungan operasi naik 5.4% kepada RM624.10 juta, disokong jualan unit yang kukuh serta kemajuan pembinaan projek sedia ada.
Prestasi hartanah turut mendapat sokongan daripada sambutan menggalakkan terhadap pelancaran baharu di Scientex SP Astana, Scientex Bestari Jaya, Scientex Cheng dan Scientex Muar, di samping ada permintaan berterusan bagi kediaman mampu milik di pelbagai wilayah.

Bagi FY26, Scientex berkata, jumlah pelancaran hartanah mencecah RM2.83 bilion, manakala kumpulan kini sudah berjaya menyiapkan lebih 47,800 rumah mampu milik di Semenanjung Malaysia dan menghampiri sasaran Wawasan 2028 untuk menyiapkan kira-kira 50,000 rumah.
"Dalam persekitaran yang mencabar itu, kumpulan namun masih berjaya merekodkan keuntungan bersih tertinggi mencecah RM620.17 juta, meningkat 16.8% daripada RM530.75 juta pada FY25, manakala hasil kumpulan naik kira-kira 6.5% kepada RM4.81 bilion," tambahnya.
Keuntungan operasi kumpulan turut meningkat 18.8% kepada RM881.51 juta daripada RM742.06 juta, sekali gus mencerminkan sumbangan lebih baik daripada kedua-dua divisyen pembungkusan dan hartanah serta kecekapan operasi yang semakin kukuh.
Bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2026 (4QFY26), pendapatan meningkat kira-kira 17.7% kepada RM1.40 bilion, manakala keuntungan bersih melonjak 29.5% kepada sebanyak RM199.92 juta berbanding RM154.3 juta dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata kumpulan menutup FY26 dengan prestasi kukuh sumbangan mantap kedua-dua divisyen, dengan bahagian pembungkusan terus meningkatkan kapasiti, menaik taraf kemudahan dan meneroka peluang penggabungan serta pengambilalihan (M&A).
"Bagi menghargai prestasi ini, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir 6 sen sesaham, tertakluk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), dengan jumlah dividen FY26 ialah 12 sen sesaham atau RM186.8 juta, bersamaan 30% daripada keuntungan bersih," katanya. - DagangNews.com






