Krisis Politik Negeri Sembilan Akan Diselesai Ikut Saluran Sah - Ahmad Zahid

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 4:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Politik Negeri Sembilan Akan Diselesai Ikut Saluran Sah - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Kriris politik yang melanda Negeri Sembilan akan diselesaikan melalui saluran politik yang betul serta mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

Memberikan jaminan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata  keutamaan ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kerajaan negeri yang kukuh dapat dibentuk demi kelangsungan pentadbiran serta kebajikan rakyat.

“Kita akan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menyelesaikan isu ini.

“Pada pandangan saya, perkara ini bukan mudah, dan langkah terbaik adalah mematuhi segala peraturan dan prosedur sedia ada supaya ia diselesaikan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Penguatkuasa ke-54 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, beliau akan mengendalikan krisis semasa melalui saluran politik tanpa campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri atau adat istiadat Negeri Sembilan.

Semalam, UMNO dan BN Negeri Sembilan mengumumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara melibatkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN negeri berkenaan susulan krisis adat yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin dalam sidang medianya menegaskan, beliau akan terus mentadbir negeri walaupun kehilangan sokongan daripada 14 ADUN BN.

Beliau turut memaklumkan telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menjelaskan kedudukan semasa sokongan terhadap kepimpinannya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid berkata beliau dijadual bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hari ini, namun enggan mendedahkan lokasi serta masa pertemuan berkenaan. - Getaran, 28 April 2026