
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas mendapat pengampunan bersyarat.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri berkata, pengampunan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 hari ini.
Menurutnya, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta oleh Najib.
“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, pengampunan bersyarat ini terbatal.
“Beliau hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 11 September lalu, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Najib sedang menjalani hukuman bagi sabitan tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa.
Sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 sebelum Najib mula menjalani hukuman penjara pada hari sama.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Berikut kronologi kes SRC International melibatkan Najib:
4 Julai 2018: Didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.
8 Ogos 2018: Didakwa atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana daripada sumber sama.
10 Ogos 2018: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan bagi menghalang media dan orang awam daripada membincangkan merit kesnya.
13 Disember 2018: Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 untuk perbicaraan tujuh pertuduhan tersebut.
11 Februari 2019: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib berhubung surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai Pendakwa Raya Kanan.
21 Mac 2019: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut.
27 Mac 2019: Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib.
28 Mac 2019: Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan perbicaraan.
3 April 2019: Perbicaraan kes bermula di Mahkamah Tinggi.
11 November 2019: Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri atas kesemua tujuh pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
3 Disember 2019: Najib mula membela diri dengan memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan.
11 Mac 2020: Pihak pembelaan menutup kes selepas prosiding berlangsung selama 33 hari dengan 19 saksi, termasuk Najib, dipanggil memberikan keterangan.
1 Jun 2020: Prosiding hujahan akhir kes bermula.
5 Jun 2020: Prosiding hujahan akhir selesai selepas berlangsung selama lima hari.
28 Julai 2020: Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
8 Disember 2021: Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib.
23 Ogos 2022: Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap Najib yang kemudiannya mula menjalani hukuman penjara.
2 Februari 2024: Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
11 September 2026: Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 diadakan dan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat berikutnya.
18 September 2026: Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.-UTUSAN
The post Kronologi kes SRC Najib Razak appeared first on Utusan Malaysia.





