
KUALA LUMPUR – Kuarters kerajaan dan bangunan kediaman awam yang tidak lagi digunakan dicadangkan diubah suai menjadi rumah sewa murah bagi membantu pasangan muda memulakan kehidupan berkeluarga.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan audit terhadap berek lama, kuarters kosong serta aset kediaman awam terbiar yang berpotensi digunakan semula.
“Jangan biarkan bangunan kerajaan terus kosong, sedangkan anak-anak muda sedang mencari tempat untuk memulakan kehidupan.
“Daripada kuarters terbiar tanpa penghuni, lebih baik kita hidupkan semula dengan tawa dan tangis anak-anak kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Dalam masa sama, Pemuda UMNO mahu Skim Sewa Untuk Dimiliki atau Rent-to-Own diperluaskan khususnya di bandar yang mempunyai kos sara hidup tinggi.
Kerajaan juga dicadangkan menetapkan kuota unit Rent-to-Own dalam projek perumahan mampu milik serta projek yang menerima kemudahan, tanah atau insentif kerajaan.
Menurut beliau, pendekatan itu boleh membantu golongan muda yang mampu membayar sewa setiap bulan tetapi berdepan kesukaran menyediakan deposit atau mendapatkan pembiayaan untuk membeli kediaman.
Pemuda UMNO turut mencadangkan supaya TASKA KEMAS diperbanyakkan di kawasan bandar termasuk PPR, perumahan kos sederhana dan kawasan yang mempunyai kepadatan keluarga muda tinggi.
Katanya, langkah itu dapat mengurangkan beban kos penjagaan anak yang ditanggung pasangan muda khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup di bandar.
The post Kuarters kerajaan terbiar dicadang jadi rumah sewa murah pasangan muda appeared first on MYBERITA.






