Kuasa belanja pengguna kukuh hingga akhir 2026, namun bakal dibayangi peningkatan kos input - HLIB

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 11:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kuasa belanja pengguna kukuh hingga akhir 2026, namun bakal dibayangi peningkatan kos input - HLIB Image from: Kuasa belanja pengguna kukuh hingga akhir 2026, namun bakal dibayangi peningkatan kos input - HLIB hamden30/09/2026 - 11:44 Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept - Perbelanjaan pengguna Malaysia dijangka kekal berdaya tahan sehingga suku akhir 2026, disokong bantuan fiskal, inflasi yang stabil serta pemulihan sentimen isi rumah.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, perbelanjaan pelancongan dan potensi rangsangan menerusi Belanjawan 2027 turut boleh memberi sokongan kepada sektor pengguna, meskipun peningkatan kos input kekal menjadi risiko utama kepada peruncit.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor pengguna, dengan AEON (M) Bhd dan Focus Point Holdings Bhd sebagai pilihan utama, masing-masing dengan harga sasaran RM1.78 dan 89 sen.

 

Menurut HLIB, keyakinan pengguna jatuh ke paras terendah sejak 4Q22 pada 2Q26, namun keadaan itu tidak diterjemahkan kepada pengurangan perbelanjaan.

 

“Penggunaan swasta meningkat 4.8% tahun ke tahun, manakala perdagangan runcit berkembang purata 6.7% bagi suku tersebut.

 

“Kami melihat perbezaan ini sebagai kemerosotan keyakinan yang mengubah campuran perbelanjaan dan bukannya tahap perbelanjaan, dengan penggunaan e-dompet kekal stabil di kedai barangan runcit dan kedai serbaneka, manakala kategori budi bicara seperti penghantaran makanan, hotel dan penerbangan merosot,” katanya.

 

Sentimen pengguna berpotensi pulih

HLIB Research, sentimen pengguna berpotensi pulih apabila beberapa tekanan terdahulu mula reda.

 

Pengurangan kuota bahan api Budi95 pada April telah dibatalkan mulai 1 September, manakala inflasi keseluruhan kekal di bawah paras tertinggi 2% pada Mei, masing-masing pada 1.8% pada Julai dan 1.9% pada Ogos.

 

Harga RON95 bersubsidi pula kekal RM1.99 seliter, sekali gus melindungi isi rumah daripada sebahagian besar kesan kenaikan kos tenaga.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sokongan fiskal juga kekal besar, dengan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, termasuk bantuan sehingga RM4,600 bagi setiap isi rumah.

 

HLIB menganggarkan isi rumah yang menerima jumlah maksimum bantuan tunai dan sokongan bahan api boleh memperoleh kira-kira RM8,500 setahun, bersamaan sekitar 23% daripada gaji kasar tahunan berdasarkan gaji median sektor formal pada Mac 2026.

 

Sementara itu, Belanjawan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada 9 Oktober dijangka merangkumi langkah bagi melindungi kuasa beli, selain kemungkinan semakan kadar gaji minimum.

 

Berdasarkan kenaikan sebelum ini, HLIB Research menjangkakan gaji minimum meningkat daripada RM1,700 ketika ini kepada RM1,900 hingga RM2,000 pada 2027.

 

“Pendapatan yang lebih tinggi berpotensi menyokong peruncit nilai seperti 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dan MR DIY Group (M) Bhd,” katanya.

 

Fomula 1 dijangka rangsang pelancongan, perbelanjaan

Dari segi pelancongan, ketibaan antarabangsa mendatar pada 12.9 juta pada 1H26, namun penerimaan pelancongan meningkat 23.2% kepada RM62.2 bilion.

 

Kembalinya Formula 1 ke Sepang dari 2 hingga 4 Oktober, yang bertepatan dengan Minggu Emas Hari Kebangsaan China, dijangka memberikan rangsangan tambahan kepada aktiviti pelancongan dan perbelanjaan.

 

“China merupakan pasaran sumber yang paling pesat berkembang bagi Malaysia, dengan ketibaan meningkat 25.2% tahun ke tahun kepada 1.41 juta pada 1Q26, sekali gus menjadi penyumbang tunggal terbesar kepada pertumbuhan pelancongan,” katanya.

 

HLIB mengenal pasti Kopi Kenangan Bhd sebagai penerima manfaat paling jelas dalam liputannya daripada peningkatan pelancongan.

 

Dalam musim keputusan kewangan terbaru, tujuh daripada sembilan saham sektor pengguna di bawah liputan HLIB Research mencapai atau mengatasi jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan saham sektor yang mencatat prestasi lebih lemah baru-baru ini akan pulih pada 2H26, dengan keputusan MR DIY dan Kopi Kenangan yang tidak mencapai jangkaan sebahagian besarnya disebabkan kos sekali sahaja atau berkaitan masa.

 

Bagaimanapun, seorang penganalisis berkata sektor pengguna masih berdepan risiko peningkatan kos input, walaupun perbelanjaan domestik kekal berdaya tahan.

 

“Walaupun bantuan tunai terus diberikan, keyakinan pengguna kekal rendah, menunjukkan perbelanjaan budi bicara masih terhad,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved