Lans Koperal Hafiz sempat luang masa bersama isteri, anak sebelum 'pergi' selamanya

LocalFamily & Parenting
7 Aug 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lans Koperal Hafiz sempat luang masa bersama isteri, anak sebelum 'pergi' selamanya
Kegigihan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim meluangkan masa bersama isteri dan anaknya di pantai walaupun keletihan bekerja menjadi kenangan terakhir buat keluarganya sebelum dia maut akibat renjatan elektrik.
Image from: Lans Koperal Hafiz sempat luang masa bersama isteri, anak sebelum 'pergi' selamanya
Ahli keluarga menunjukkan gambar Mohamad Nur Hafiz dan isterinya. FOTO - ADILA SHARINNI WAHID
Image from: Lans Koperal Hafiz sempat luang masa bersama isteri, anak sebelum 'pergi' selamanya
Arwah meninggalkan isterinya, Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi yang berusia 2 tahun.

KOTA BHARU – Kegigihan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim meluangkan masa bersama isteri dan anaknya di pantai walaupun keletihan bekerja menjadi kenangan terakhir buat keluarganya sebelum dia maut akibat renjatan elektrik di Sabah pada Khamis.

Mentuanya, Norizan Hamat berkata, arwah yang berasal dari Kampung Hutan Pasir, Ketereh, membawa isterinya, Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, ke pantai di Sabah selama dua hari berturut-turut beberapa hari sebelum kejadian.

“Anak saya beritahu, menantu sanggup membawa isteri dan anak ke pantai dua hari berturut-turut walaupun letih bekerja.

“Tak sangka rupa-rupanya dia mahu menghabiskan masa bersama keluarga sebelum pergi buat selama-lamanya,” katanya kepada pemberita di Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada Jumaat.

**media[3607724]**

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik

Sebelum ini, akhbar melaporkan tiga anggota polis maut akibat renjatan elektrik ketika mengambil buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston, Sabah pada petang Khamis.

**media[3607735]**

Dalam kejadian itu, Mohamad Nur Hafiz bersama dua rakan setugas di Balai Polis Weston, Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas galah besi yang digunakan dipercayai terkena kabel elektrik utama milik Sabah Electricity.

Menurut Norizan, Mohamad Nur Hafiz, 29, juga tidak pernah gagal membuat panggilan video setiap hari selain berkongsi gambar mereka sekeluarga beriadah di pantai.

“Arwah seorang yang sangat baik. Setiap hari dia akan membuat panggilan video kepada kami, sebab itu kehilangan ini sangat dirasai,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya yang memberitahu Mohamad Nur Hafiz dibawa ke hospital selepas terkena renjatan elektrik.

“Lebih kurang 10 minit kemudian, keluarga besan pula menghubungi kami dan memaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Dia memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima keluarga, jenazah Mohamad Nur Hafiz dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk bedah siasat pada jam 8 pagi Jumaat.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh di sini sebaik tiba dari Sabah.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved