
PETALING JAYA: Pencapaian Malaysia meraih lapan pingat emas di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow adalah bukti kejayaan membanggakan apabila bukan sahaja melepasi sasaran, malah mengatasi tiga edisi terdahulu walaupun jumlah sukan yang dipertandingkan dikurangkan.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, kutipan lapan emas itu lebih baik berbanding pencapaian negara di Birmingham 2022, Gold Coast 2018 dan Glasgow 2014, sekali gus membuktikan kontinjen negara terus berada di landasan tepat untuk bersaing di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, pencapaian lapan pingat emas telah melebihi sasaran. Malah, ia lebih baik berbanding tiga siri Sukan Komanwel yang lalu iaitu Birmingham 2022, Gold Coast 2018 dan Glasgow 2014 meskipun bilangan sukan kali ini dikurangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Awalan yang juga merupakan presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) mengakui tetap berasa kecewa apabila skuad boling padang gagal menghadiahkan pingat emas kepada negara selepas diletakkan antara sandaran utama pada temasya kali ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian dua pingat perak yang diraih skuad boling padang masih boleh dianggap memuaskan kerana berjaya memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh PLBM.
“Tipulah kalau saya kata tidak kecewa boling padang tidak dapat membawa pulang pingat emas.
“Walau bagaimanapun, dua pingat perak yang dimenangi telah menepati sasaran dua pingat yang ditetapkan PLBM,” ujarnya.
Tambah beliau, pencapaian itu juga wajar diberikan pengiktirafan memandangkan hanya dua acara dipertandingkan kali ini iaitu perseorangan dan beregu, berbanding lebih banyak acara pada edisi Birmingham 2022.- UTUSAN
The post Lapan pingat emas atasi tiga edisi terdahulu appeared first on Utusan Malaysia.






