
ISKANDAR PUTERI: Kontinjen Johor menyasarkan untuk mengutip sehingga 45 pingat emas dan kedudukan tiga terbaik pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, sasaran itu melibatkan kutipan 55 perak dan 43 gangsa.
“Pada SUKMA Selangor 2026 ini, Kontinjen Johor menghantar kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai. Ini merupakan satu kontinjen yang besar, kerana pastinya kami idamkan kedudukan terbaik.
“Kali ini, kita sasarkan lebih kurang 45 pingat emas. Insya-Allah kami yakin sasaran itu dapat dicapai,” katanya selepas menyempurnakan upacara Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Hairi, kerajaan negeri turut menyediakan ganjaran berjumlah RM10,000 kepada pemenang pingat emas bagi kategori individu dan berpasangan, manakala RM9,000 seorang bagi berkumpulan sehingga tujuh pemain, serta RM8,500 seorang bagi berkumpulan lebih tujuh pemain.
“Manakala bagi atlet yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKMA, ganjaran yang bakal diterima bernilai RM5,000.
“Jumlah ganjaran ini sama melibatkan atlet para SUKMA,” katanya.
Kontinjen Johor bakal bersaing dalam 379 acara melibatkan 37 jenis sukan.
Sementara itu, Mohd. Hairi yang juga merupakan Chef de Mission Kontinjen Johor berkata, pihaknya kesal apabila sukan kanu sekali lagi tidak tersenarai sebagai acara sukan pada temasya dwitahunan berkenaan.
“Saya rasa agak rugi dan malang apabila sukan berkenaan tidak dipertandingkan. Tindakan sedemikian telah menolaknya peluang atlet-atlet kanu kita sama ada yang terlibat di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
“Jadi saya harap Kementerian Belia dan Sukan dapat melihat perkara ini, apatah lagi apabila melibatkan sukan-sukan teras lain yang termasuk dalam acara antarabangsa seperti komanwel dan olimpik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) akan menghantar seramai 34 atlet kanu menyertai World Sprint Championships 2026 yang akan diadakan di Marina Bay Sands, Singapura pada 17 hingga 31 Ogos ini.-UTUSAN
The post SUKMA Selangor: Johor sasar 45 pingat emas appeared first on Utusan Malaysia.






